HANOI: Angka kematian akibat taufan Yagi yang mencetuskan tanah runtuh dan banjir di utara Vietnam meningkat kepada 35 orang, lapor Reuters.
Menurut agensi pengurusan bencana Vietnam, 35 orang maut manakala 24 lagi hilang, kebanyakannya disebabkan oleh tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh taufan itu.
Taufan Yagi, ribut paling kuat di Asia tahun ini, mula beransur lemah selepas melanda pantai timur laut Vietnam pada Sabtu lepas.
Bencana itu menyebabkan gangguan kepada bekalan elektrik dan rangkaian telekomunikasi di beberapa bahagian negara, terutama Quang Ninh dan Haiphong.
Agensi cuaca memberi amaran kemungkinan berlaku lebih banyak banjir dan tanah runtuh, terutama di beberapa bahagian wilayah utara sepanjang 24 jam lalu.
“Banjir dan tanah runtuh sedang merosakkan alam sekitar dan mengancam nyawa penduduk,” kata Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pusat ramalan tersebut memaklumkan risiko banjir adalah sangat tinggi di wilayah Lang Son, Cao Bang, Yen Bai, dan Thai Nguyen.










