Kluang jadi hab logistik – Onn Hafiz

Kluang jadi hab logistik – Onn Hafiz

ONN HAFIZ Ghazi (tiga dari kanan) dan beberapa anggota Exco Johor menunjukkan laporan Ringkasan Pencapaian Inisiatif Maju Johor 2022-2024, di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih banyak peluang pekerjaan bakal dinikmati warga Kluang, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota apabila kawasan itu bakal menjadi hab logistik negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk Kluang.

“Terdapat maklum balas kerajaan negeri hanya tumpu pembangunan di kawasan selatan Johor, daerah-daerah lain tidak diberikan tumpuan, saya hendak nyatakan itu tidak benar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya lihat kawasan daerah Kluang ini akan jadi hab logistik kerana Kluang berada di tengah-tengah Johor dan pelbagai projek infrastruktur sedang berjalan.

“Antaranya, Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru, pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan dan naik taraf jalan Persekutuan,” katanya dalam sesi temubual di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di sini semalam.

Onn Hafiz berkata, bagi mengatasi isu kesesakan jalan raya di bandar Kluang, sebatang jalan pintasan akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

Katanya, jalan pintasan sepanjang 2.1 kilometer (km) itu akan dibina dari Taman Muhibah ke Layang yang memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 pengguna jalan raya setiap hari.

Menurutnya, peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk membina jalan pintasan tersebut telah dipohon sejak dua tahun lalu dan dijangka diluluskan pada tahun ini.

“Ini akan menjadi pemangkin perubahan yang memastikan kesesakan dapat dikurangkan. Pengguna jalan raya tidak perlu lagi masuk ke pusat bandar, sebaliknya menggunakan jalan pintasan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Kluang menerima peruntukan RM122 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan termasuk di DUN Mahkota.

Katanya, peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri berjumlah RM26 juta, jalan pihak berkuasa tempatan (RM32 juta), jalan Persekutuan (RM59 juta) dan lampu isyarat sera lampu jalan (RM2 juta).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon memberitahu, Kluang setakat ini sudah menerima peruntukan sebanyak RM305,000 dalam bidang kesihatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×