Jenin seperti dilanda gempa bumi

Jenin seperti dilanda gempa bumi

KEADAAN jalan dan premis perniagaan yang rosak teruk akibat serbuan Israel di bandar Jenin, Tebing Barat, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Skala kemusnahan dan kerugian menggambarkan seolah-olah bandar Jenin dilanda gempa bumi, berikutan operasi ketenteraan besar-besaran Israel.

Datuk Bandar Jenin, Nidal al-Obaidi menganggarkan kerugian kira-kira AS$135.2 juta (RM585 juta) akibat kerosakan yang berlaku setakat ini.

Beliau berkata, banyak kerosakan dilaporkan pada infrastruktur bandar, termasuk saluran air, komunikasi dan transfomer elektrik.

“Skala kemusnahan melebihi operasi sebelum ini, dengan kerugian dianggarkan sekitar AS$135.2 juta (RM585 juta).

“Keadaan itu terutama di kawasan kejiranan timur dan kem, seolah-olah dilanda gempa bumi, dengan kemusnahan besar, jalan hancur, rumah runtuh dan infrastruktur lain diletupkan,” katanya.

Menurut majlis perbandaran Jenin, tentera Israel merosakkan hampir 70 peratus jalan bandar dan 20 kilometer rangkaian air serta kumbahan sejak melancarkan serbuan, minggu lalu.

Akibatnya, 80 peratus kem pelarian Jenin, yang menempatkan 20,000 penduduk, dibiarkan tanpa akses air.

Serangan Israel di Jenin untuk hari kelima berturut-turut membunuh sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin dan mencederakan ramai yang lain.

Kepungan terhadap bandar Jenin menyebabkan rakyat Palestin tidak mempunyai makanan, air, elektrik dan akses internet.

Pasukan Israel menyerbu bandar utara Jenin, Tulkarem dan Tubas dengan sokongan kereta kebal, dron dan jengkaut sebagai sebahagian daripada operasi terbesarnya di Tebing Barat sejak Intifada kedua pada 2002.

KENAPA JENIN JADI SASARAN

Dalam sejarah panjang serangan ketenteraan Israel, Jenin banyak kali menjadi tumpuan serbuan pasukan rejim dan dianggap seperti Gaza.

Jenin adalah sebuah bandar kecil di utara Tebing Barat, berhampiran sempadan dengan Israel, mempunyai kem pelarian konkrit dan blok batu api yang menempatkan kira-kira 14,000 penduduk.

Ia dihuni oleh rakyat Palestin yang dipindahkan ketika Israel diwujudkan pada tahun 1948.

Menurut Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Jenin merekodkan kadar pengangguran dan kemiskinan tertinggi di antara 19 kem pelarian di Tebing Barat.

Terasing daripada kepemimpinan arus perdana Palestin dan dibesarkan dalam era media sosial, generasi baharu rakyat Palestin membentuk kumpulan operasi di Tebing Barat seperti Briged Jenin, termasuk pejuang Hamas, Jihad Islam dan Briged Syuhada al-Aqsa di bawah Fatah.

Jenin melahirkan banyak pengebom berani dan mereka menyertai Intifada kedua, antara 2000 dan 2005.

Bagi membendungnya, tentera berperisai Israel melakukan serbuan dahsyat di bandar itu.

Tentera Israel kerap menuduh kumpulan pejuang berkenaan menempatkan ahlinya di kawasan bandar yang padat penduduk seperti kem pelarian sejak 1948.

Sejak Mac 2022, Israel melakukan serbuan di Jenin dan kawasan terpencil di utara Tebing Barat, susulan serangan jalanan oleh individu Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×