KOTA BHARU: Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah terpedaya dengan ajaran sesat.
Beliau berkata, kebanyakkan ajaran itu menyimpang jauh daripada pegangan Islam yang sebenar.
“Berhubung isu Global Ikhwan Services Business Holdings Sdn. Bhd Holding (GISBH) sebagaimana yang berlaku di negeri ini kita tidak mengeluarkan fatwa secara terburu-buru.
“Kita perlu mengumpul bukti yang kukuh terlebih dahulu atau melihat elemen-elemen baharu berkaitan GISBH. Setakat ini, kita tahu kegiatan yang berlaku itu didakwa mempunyai rangkaian ajaran sesat iaitu Al-Arqam.
“Namun kita tidak boleh terburu-buru dan perlu berhati-hati untuk menentukan fatwa tersebut kepada ajaran tersebut sama ada sesat atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita Majlis Perasmian Wacana Intelektual Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V yang ke 55 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, sesuatu perkara yang diputuskan juga perlu diteliti untuk menjaga nama baik negeri Kelantan bagi memastikan fatwa itu tepat.
Katanya, dalam pada itu beliau menasihatkan masyarakat di negeri ini supaya tidak terlibat dengan sebarang ajaran sesat.-UTUSAN










