Faizah tidak kekok berniaga piza bersama madu, anak-anak

Faizah tidak kekok berniaga piza bersama madu, anak-anak

NUR Faizah Jaafar (kiri) bersama madunya, Sarinah Ismail menunjukkan piza yang dijual di kedai mereka di Kampung Lubuk Kawah, Besut, semalam. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang wanita tidak kekok menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis piza bersama madunya di Kampung Lubuk Kawah, Jertih, di sini.

Nur Faizah Jaafar, 49, ber­kata, dia mengambil pendekatan untuk mengajak madunya, Sarinah Ismail, 51, membantunya menjalankan perniagaan itu ekoran kekurangan tenaga kerja setelah membuka kembali perniagaan Piza Seni Bidadara sejak empat tahun lalu.

“Sejak 2016 saya dan suami menjalankan perniagaan piza di Laman Seni Rajawali dekat Cenderawasih, Kuantan, Pahang, sebelum mengambil keputusan menutupnya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kembali ke kampung halaman kami di Kampung Keruak, Hulu Besut.

“Pada 2020 kami buka kembali kedai Piza Seni Bidadara ini di Kampung Lubuk Kawah dan saya tidak mengambil pekerja melainkan melakukannya bersama madu dan anak-anak serta dibantu suami Che Ku Arshad Che Ku Rani, 51,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Kawah di sini, semalam.

Nur Faizah berkata, dia mengambil tugas membakar piza, sementara madunya me­nguli doh piza mengikut cita rasa serta pilihan pelanggan.

“Apabila piza dibakar menggunakan ‘gok’ (binaan yang berfungsi sebagai ketuhar) ini kami perlu sentiasa menjaga api dan baranya kerana kebarangkalian untuk menyebabkan piza itu hangit adalah tinggi dan proses pembakarannya agak berbeza berbanding menggunakan ketuhar.

“Piza tersebut dimasak selama 10 minit menggunakan kayu api sehingga membangkitkan aroma unik dan memikat selera pelanggan,” katanya.

Ujar Nur Faizah, setiap hari dia akan menyediakan kira-kira dua kilogram doh piza segar bagi menjaga kualiti dan apabila hari cuti sekolah doh berkenaan akan ditambah kepada 10 kilogram.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, mereka menawarkan enam perisa, iaitu piza daging pepperoni, ayam pepperoni, tuna, daging salai, ayam istimewa dan makanan laut.

Menurutnya, kesemua piza tersebut dijual pada harga RM20 hingga RM62 mengikut pe­risa dan saiz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN