DHAKA: Ketua kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus meminta Sheikh Hasina berdiam diri semasa dalam buangan di India sehingga beliau dibawa pulang untuk dibicarakan.
Ini susulan kenyataan umum yang dibuat bekas Perdana Menteri itu, seminggu selepas tiba di India, menyeru warga Bangladesh berkumpul di Dhaka untuk memperingati pembunuhan bapanya, wira kemerdekaan Sheikh Mujibur Rahman pada 1975.
Kenyataan Hasina dilihat sebagai usaha provokatif untuk menggerakkan ahli parti Liga Awami dan menjejaskan undang-undang serta keamanan dalam tempoh awal Yunus memegang jawatan.
“Jika India mahu menahannya sehingga Bangladesh mahukan dia kembali, syaratnya ialah dia perlu berdiam diri.
“Duduk di India, dia bercakap dan memberi arahan. Tiada siapa yang suka. Ia tidak baik untuk kami atau untuk India,” kata Yunus kepada agensi berita, Press Trust of India.
Hasina, 76, melarikan diri ke India dengan helikopter sebulan lalu selepas protes pelajar bertukar menjadi rusuhan dahsyat di Bangladesh, yang menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun di negara itu.
Kerajaan sementara yang diketuai Yunus kini berada di bawah tekanan awam untuk menuntut ekstradisi dan perbicaraan Hasina berhubung kematian ratusan penunjuk perasaan semasa protes di Dhaka.
Yunus tidak menyatakan sama ada permohonan ekstradisi rasmi dibuat kepada India.
Pemerintahan Hasina dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia, termasuk penahanan besar-besaran dan pembunuhan tanpa proses undang-undang terhadap penentangnya.
Pelbagai kes jenayah difailkan terhadap Hasina dan tokoh kanan Liga Awami berhubung kematian penunjuk perasaan, dalam tindakan keras polis terhadap pemberontakan pelajar yang membawa kepada penggulingannya.- AFP










