Banjir di Eropah ragut 10 nyawa

Banjir di Eropah ragut 10 nyawa

SEORANG lelaki meredah banjir sambil mengangkut barang di Slobozia Conachi, di Galati, Romania, kelmarin.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRAGUE: Angka korban akibat banjir di Eropah mencecah 10 orang dan dijangka meningkat ketika beberapa negara masih ditenggelami air sehingga menjejaskan jutaan penduduk.

AFP melaporkan, antara negara terjejas teruk adalah Austria, Republik Czech, Poland dan Romania, manakala Slovakia dan Hungary juga diramal mengalami banjir akibat tekanan rendah dari utara Itali yang membawa hujan lebat.

Di Romania, sebanyak enam kematian dilaporkan sementara Austria dan Poland masing-masing mencatat satu kematian.

Angka kematian juga dijangka bertambah selepas empat dilaporkan hanyut akibat arus deras di Republik Czech.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran banjir di kira-kira 100 lokasi di Republik Czech, dengan keadaan paling teruk di kawasan timur laut.

Masih di negara sama, hampir 10,000 orang dipindahkan di Opava selepas air sungai melimpah, dalam satu kejadian yang lebih teruk berbanding banjir sebelum ini pada 1997.

Jelas AFP, selain itu, banjir di Republik Czech mengakibatkan 260,000 rumah terputus bekalan elektrik, gangguan trafik serius serta perkhidmatan kereta api terjejas.

Di Austria, seorang anggota bomba meninggal dunia ketika bahagian selatan negara itu diisytiharkan sebagai zon bencana selepas penduduk dari 1,100 rumah dipindahkan.

Romania melaporkan dua lagi kematian akibat banjir, menjadikan jumlah keseluruhan lapan di daerah timur Galati yang terjejas.

Seorang dilaporkan maut di Poland dan keadaan di bandar seperti Klodzko dan Glucholazy sangat kritikal dengan jalan dan rumah tenggelam serta jambatan runtuh.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN