MENTERI Iklim Sweden, Romina Pourmokhtari, menjadi tular dalam media sosial bulan lalu selepas membawa anak lelakinya yang berusia tiga bulan ke mesyuarat Kesatuan Eropah (EU).
Kehadiran Adam ke menjadikannya bayi pertama yang menghadiri mesyuarat peringkat menteri EU, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi positif di media sosial.
Romina berkata, beliau sengaja membawa anaknya untuk menyampaikan mesej wanita tidak seharusnya perlu memilih antara membina keluarga dan meneruskan kerjaya, termasuk berkhidmat dalam jawatan awam.
Menurutnya, dasar cuti ibu bapa yang baik memainkan peranan penting dalam membolehkan mereka mengimbangi kedua-dua tanggungjawab.
“Saya mahu menunjukkan melalui teladan wanita tidak perlu membuat pilihan itu. Sudah tentu, ia juga memerlukan pasangan yang bukan berfikiran kolot, sebaliknya seorang yang moden dan bersedia memainkan peranan,” katanya kepada Reuters.

Bercakap kepada media sebelum mesyuarat bermula, Romina berharap kehadirannya bersama Adam menggalakkan lebih ramai wanita untuk terus aktif dalam kerjaya selepas bergelar ibu.
Beliau turut menegaskan dasar mesra keluarga di Eropah membolehkan ibu bapa mengimbangi tanggungjawab menjaga anak dengan kerjaya profesional.
Romina berkata, amalan bapa mengambil cuti ibu bapa kini diterima secara meluas di Sweden, hasil perubahan sikap masyarakat serta penekanan negara terhadap konsep keibubapaan bersama.
Tindakan Romina menerima pujian meluas di media sosial, dengan ramai pengguna menyifatkannya sebagai inspirasi kepada ibu berkerjaya serta simbol keseimbangan antara tanggungjawab.
Sweden menawarkan antara sistem cuti ibu bapa paling baik di dunia dengan memberikan kira-kira 16 bulan cuti bergaji selepas kelahiran anak.
Melalui dasar itu, ibu diberi 90 hari cuti khas, manakala bapa turut menerima 90 hari cuti khas. Baki 300 hari lagi boleh dikongsi oleh kedua-dua ibu bapa mengikut kesesuaian mereka.
Kuota cuti khas untuk bapa, yang dikenali sebagai ‘Dad Months’, diwujudkan bagi menggalakkan lebih ramai bapa terlibat dalam menjaga dan membesarkan anak.
MENTERI TERMUDA SWEDEN
Romina dipilih sebagai ahli Parlimen Sweden pada 2022 sebelum dilantik sebagai Menteri Iklim pada tahun yang sama, sekali gus menjadi menteri termuda dalam sejarah negara itu.
Beliau baharu sahaja kembali bertugas selepas menamatkan cuti khasnya. Suaminya pula kini sedang menjalani cuti ibu bapa sehingga pilihan raya Parlimen Sweden pada September depan.
Suami Romina juga menemani beliau ke Luxembourg dan menjaga Adam sepanjang mesyuarat EU mengenai dasar iklim berlangsung.
Romina bukanlah pemimpin wanita pertama yang pernah membawa anak ke tempat kerja atau acara rasmi sebagai simbol sokongan terhadap persekitaran kerja mesra keluarga.
Pada 2010, ahli Parlimen Eropah, Licia Ronzulli, menghadiri sidang Parlimen bersama bayi perempuannya yang berusia enam minggu, Vittoria.

Pemimpin Itali itu antara ahli politik pertama yang menyertai perbahasan dan sesi pengundian sambil mendukung bayi.
Pada 2018 pula, Perdana Menteri New Zealand ketika itu, Jacinda Ardern, mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dipilih sebagai perdana menteri membawa anak perempuannya yang berusia tiga bulan, Neve, ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pasangannya, Clarke Gayford, turut mengiringi beliau dan menjaga Neve sepanjang mesyuarat rasmi berlangsung.
Setahun sebelumnya, Senator Australia, Larissa Waters, turut mencuri perhatian dunia apabila menyusukan anak perempuannya yang berusia dua bulan, Alia Joy, ketika sedang berucap di Parlimen.
Insiden itu berlaku tidak lama selepas Parlimen Australia meminda peraturan bagi membenarkan ahli Parlimen menyusukan bayi di dalam dewan, sekali gus dilihat sebagai langkah penting dalam mewujudkan tempat kerja yang lebih mesra keluarga.










