27% murid Tahun 1 tidak boleh membaca

27% murid Tahun 1 tidak boleh membaca

KPM dicadang menyediakan lebih ramai kaunselor kesan pelajar hadapi masalah mental. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi 2024/2025 dipilih bagi mengikuti Program Intervensi (literasi dan numerasi) bermula bulan lalu bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Jumlah murid yang terpilih itu mewakili 27.2 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, daripada jumlah itu, seramai 62,928 murid dikesan belum menguasai literasi dan numerasi; 45,465 murid belum menguasai literasi manakala 13,669 murid pula belum menguasai numerasi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan

Menurut beliau, saringan dan pengesanan awal murid berkenaan telah dilaksanakan pada Julai lalu sebelum program intervensi dimulakan bermula Ogos lalu..

“Ketiga-tiga kelompok murid itu akan diberikan intervensi berdasarkan tahap penguasaan literasi dan numerasi masing-masing.

“Murid-murid ini akan diletakkan mengikut kumpulan kecil dan mereka kemudian akan diberikan kit atau modul bacaan yang sesuai oleh guru-guru,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Kata beliau, selepas tiga bulan program, penilaian akan dibuat dan murid-murid itu akan diletakkan semula ke kelas arus perdana selepas menguasai literasi dan numerasi.

Bagaimanapun, kata Azman, bagi murid yang belum menguasai 3M mereka akan terus mengikuti program intervensi sehingga mencapai tahap penguasaan lebih daripada minimum sebelum dipilih kembali ke bilik darjah.

Menurutnya, bagi tempoh tiga bulan itu, murid hanya akan belajar membaca, menulis, dan mengira.

“Program Intervensi Literasi dan Numerasi itu adalah salah satu daripada empat inisiatif di bawah Program Intervensi Kurikulum.

“Antara inisiatif lain termasuk susulan semula kurikulum (penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah); pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mesra ibu bapa dan latihan untuk guru,” katanya.

Kata Azman lagi, empat inisiatif itu telah berjalan serentak sejak Mac lalu di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, murid kumpulan intervensi itu tetap akan beralih ke Tahun Dua sekiranya belum menguasai kemahiran 3M di Tahap Penguasaan 1 pada akhir kalendar akademik 2024/2025.

“Dia (murid dalam kumpulan intervensi) tetap naik (ke Tahun Dua) tetapi kita akan memperkukuhkan kumpulan murid ini melalui intervensi berikutnya.

“Sekiranya kalendar akademik sudah beralih, kumpulan murid ini tetap akan beralih ke Tahun Dua, tetapi mereka perlu melalui proses intervensi untuk memperkukuh keupayaan mereka dalam kurikulum.

“Setakat ini, kita tiada dasar yang menyekat mana-mana murid beralih dari Tahun Satu ke Tahun Dua atau seterusnya,” katanya.

Katanya, Kementerian Pendidikan komited memastikan intervensi kurikulum ini dapat memberikan impak positif kepada pengalaman pelajaran murid serta kualiti pendidikan secara keseluruhannya.

“Justeru, sokongan masyarakat termasuk ibu bapa dan pihak berkepentingan lain adalah diharapkan bagi memastikan inisiatif ini berjaya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×