‘Saya tidak salahkan sesiapa, semua ketentuan Allah’

‘Saya tidak salahkan sesiapa, semua ketentuan Allah’

MOHD. FAAIZ (dua kiri) menyiram air mawar atas pusara anaknya, Muhammad Umar selepas selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lalang, Kluang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Bapa kepada murid Tahun Satu yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang, di sini petang semalam reda dengan kejadian menimpa anaknya dan menganggap itu sebagai takdir yang telah ditetapkan Allah.

Mohd. Faaiz Muran, 35, berkata, dia dan isterinya, Nurul Shahira Salim, 35, bersikap berlapang dada dan menerima ujian yang diberikan kepada mereka sekeluarga.

Katanya, sejak seminggu lalu, mangsa iaitu Muhammad Umar Mohd. Faaiz, 7, menunjukkan perubahan sikap apabila menjadi lebih manja dan sering meminta didukung walaupun sudah mencecah tujuh tahun.

“Dia juga ada meminta dibelikan durian serta beberapa jenis buah-buahan lain, selain berjanji akan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh sekiranya dihadiahkan sebuah basikal.

“Alhamdulillah, saya sempat tunaikan semua permintaannya. Namun saya tidak sangka semua itu sebenarnya menjadi petanda arwah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Ibunya juga sangat terkilan kerana sejak kebelakangan ini dia terpaksa memberikan lebih perhatian kepada adik kembar Umar,” katanya selepas pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lalang, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Faaiz, mereka sekeluarga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak termasuklah pemandu bas terlibat.

“Saya tidak salahkan sesiapa dalam kejadian ini. Bagi saya, semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin perubahan sikap arwah sebelum ini merupakan petanda yang kami tidak sedari.

“Kami hanya mampu reda dengan ujian ini dan mendoakan agar roh Muhammad Umar ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN