BALIK PULAU : Seramai 19,705 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan mereka di Pulau Pinang pada tahun ini berbanding seramai 20,197 murid yang berbuat demikian pada tahun lepas.
Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pengurangan jumlah murid seramai 492 orang itu dipercayai dipengaruhi oleh faktor kadar kelahiran semasa di negeri ini.
Beliau berkata, daripada 19,705 murid tersebut, seramai 10,147 terdiri daripada murid lelaki manakala selebihnya iaitu 9,558 adalah murid perempuan.
“Majoriti murid Tahun Satu adalah berbangsa Melayu iaitu seramai 12,755 orang, diikuti oleh Cina (5,022), India (1,514) dan lain-lain kaum seramai 414 orang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pemuafakatan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di sini, hari ini.
Mengulas mengenai persiapan sempena hari pertama persekolahan pula, beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) telah menggerakkan semua kepimpinan di peringkat jabatan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyantuni 396 sekolah yang memulakan sesi persekolahan pada hari pertama.
“Hanya sebuah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin (di Bukit Mertajam) akan
memulakan sesi persekolahan esok,” katanya yang memberitahu, tiada sesi pembelajaran formal dilaksanakan selaras dengan garis panduan KPM bagi minggu pertama persekolahan kali ini.
Tambah beliau, setakat ini juga, tidak ada sekolah di Pulau Pulau yang mempunyai bilangan murid yang terlalu kecil kecuali sekolah di kawasan lokaliti tertentu seperti SK Pulau Aman yang jumlah muridnya bergantung kepada penduduk setempat.-UTUSAN










