Tingkatkan integriti, MBS perkenal penggunaan kamera badan - Utusan Malaysia

Tingkatkan integriti, MBS perkenal penggunaan kamera badan

MASRI Razali pada majlis penyerahan dan pemakaian kamera badan kepada penguat kuasa MBS di Wisma MBS, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bertujuan bagi meningkatkan integriti selain keberkesanan aktiviti penguatkuasaan, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melancarkan penggunaan kamera badan untuk penguat kuasanya.

Sebanyak 12 unit digunakan buat permulaan sekali gus menjadikan MBS merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Negeri Sembilan menggunakan kaedah kamera badan.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, kamera badan itu mampu merakam video dengan kualiti tinggi dan akan digunakan sepanjang tempoh anggota penguat kuasa bertugas iaitu bagi lapan jam penggunaan secara terus serta.

Kata beliau, kamera badan itu perlu digunakan ketika operasi penguatkuasaan terancang seterusnya meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

“Banyak aduan diterima oleh orang ramai mengenai operasi penguatkuasaan yang dijalankan kami khususnya berkaitan integriti, kasar dan sebagainya, oleh itu kamera badan ini membantu untuk kami menjawab aduan-aduan sebegini dengan bukti lebih jelas dan kukuh.

“Ia bukan sahaja dapat memberikan bukti yang boleh dipercayai dalam siasatan dan prosiding undang-undang malah MBS juga telah menetapkan garis panduan yang jelas mengenai penggunaan, penyimpanan serta pengurusan data yang diperoleh melalui kamera badan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan dan pemakaian kamera badan kepada penguat kuasa MBS di Wisma MBS di sini hari ini.

Masri dalam pada itu berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menambah unit penggunaan kamera badan tersebut pada masa akan datang.

“Penggunaan kamera badan ini melibatkan kos lebih RM100,000 dengan MBS menggunakan kaedah sewa guna daripada syarikat pembekal bagi tempoh kontrak selama dua tahun. Pihak pembekal akan bertanggungjawab dalam urusan kerosakan dan akan sentiasa mengemaskini sistem sepanjang tempoh kontrak. 

“Kami yakin dengan adanya kamera badan ini akan membina kepercayaan yang lebih kukuh antara warga bandar raya dan MBS serta memastikan setiap tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah adil, telus dan profesional,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN