PASIR PUTEH: Tindakan seorang tekong warganegara Thailand bersama tiga warga tempatan menggunakan pukat tunda di zon penangkapan ikan nelayan pantai membawa padah apabila dia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan semalam.
Kesemua nelayan itu ditahan pada jarak 20 kilometer dari Pulau Perhentian, Terengganu semasa sedang melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara itu sekitar 12.11 tengah hari.
Pengarahnya, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang menangkap hasil laut menggunakan cara menunda pukat pada pukul 11.45 pagi.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian telah menahan bot tersebut dan terus melakukan pemeriksaan.
“Pemeriksaan menjadi bot pukat tunda tempatan itu melakukan pencerobohan dengan menangkap hasil laut di zon nelayan pantai. Tindakan itu sekali gus melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang dari 18 kilometer dari daratan terhampir.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati tekong yang mengendali bot itu adalah warga Thailand. Kesemua mereka yang ditahan termasuk warga Thailand dan tempatan itu masing-masing berusia 49 hingga 54 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Erwan Shah memberitahu, disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
Katanya, pada masa sama Maritim Kelantan turut merampas peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 3.2 tan.-UTUSAN










