Teknologi penternakan ketam Korea Selatan dibawa ke Sebatu

Teknologi penternakan ketam Korea Selatan dibawa ke Sebatu

SITI FAIZAH Abd. Azis (tengah) mendengar taklimat kemajuan kerja tapak Festival D’Bendang Melaka 2024 dan Mini KUD di Sungai Rambai, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kerajaan negeri dengan kerjasama Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-Aquas) Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima geran bernilai lebih RM1 juta dari Korea Selatan bagi penghasilan benih ketam di Sebatu di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd. Azis berkata, kedua-dua pihak telah bekerjasama dalam menghasilkan kertas kerja untuk dihantar ke pelbagai negara yang memiliki teknologi akuakultur.

Kata beliau, teknologi berkenaan kemudiannya akan dibawa ke Melaka untuk menghasilkan benih ternakan laut.

“Kali ini Sungai Rambai diberi perhatian untuk kita mendapatkan satu produk baharu dalam teknologi akuakultur. Kami (kerajaan negeri) bekerjasama dengan UPM melalui I-Aquas untuk menghasilkan benih ternakan laut.

“Kerajaan negeri menerima geran dari Korea Selatan yang mana teknologi negara itu akan dibawa ke Melaka untuk penternakan ketam. Nilai geran ini lebih RM1 juta dan akan dilaksanakan di Sebatu,” katanya selepas melawat persiapan Festival D’Bendang Melaka 2024 dan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Siti Faizah memaklumkan, lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Festival D’Bendang Melaka dan Mini KUD yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Ogos ini.

Menurutnya, setakat ini kemajuan kerja di lokasi tapak telah mencapai lebih 60 peratus dan dijangka siap sepenuhnya empat hari sebelum acara berlangsung.

“Lebih 140 usahawan telah mendaftar untuk menyertai Mini KUD. Kami masih mendapat banyak pertanyaan daripada usahawan yang berminat walaupun tarikh pendaftaran telah ditutup.

“Bagi Festival D’Bendang pula kita masih mengekalkan konsep sama seperti tahun sebelumnya, namun ada beberapa penambahbaikan daripada aspek pengurusan termasuk penyediaan tapak parkir kereta yang lebih teratur,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN