SOLINGEN: Pihak berkuasa Jerman menahan lelaki warganegara Syria dipercayai berkongsi fahaman kumpulan pengganas Islamic State (IS) selepas suspek menyerah diri kerana dipercayai bertanggungjawab dalam serangan di sebuah festival di sini yang membunuh tiga nyawa.
Menurut Mahkamah Persekutuan, Issa Al H, 26, berdepan tiga tuduhan membunuh, cubaan membunuh serta mengakibatkan kecederaan kepada lapan mangsa lain.
Tertuduh, yang memohon perlindungan suaka, menyerah diri kepada pihak polis susulan operasi pemburuan besar-besaran yang dilancarkan sejurus insiden dilaporkan.
Agensi berita DPA pula melaporkan, permohonan suaka politik tertuduh pernah ditolak dan dia sepatutnya dihantar pulang tahun lalu.
Terdahulu, AP melaporkan lelaki itu digari di tangan dan kaki dilihat meninggalkan Balai Polis Solingen untuk dibicarakan di Mahkamah Persekutuan semalam.
Dalam kejadian Jumaat lalu, serangan suspek membunuh seorang wanita berusia 56 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 56 dan 67 tahun.
Serangan pada pukul 10 malam itu dilakukan semasa festival sempena meraikan ulang tahun ke-650 bandar itu, di barat Jerman.
Kumpulan IS kelmarin mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan di laman webnya, menyatakan ia dilakukan sebagai balas dendam kepada kematian penganut Islam di Palestin dan seluruh dunia.










