TENOM: Saksi kesembilan yang juga pengadu memberitahu mahkamah suaminya tahu dia ada menghantar gambar payudara kepada Ebit Lew pada Mei 2021.
Saksi memberi keterangan itu semasa menjawab soalan pemeriksaan balas ditanyakan oleh peguam mewakili Ebit, Datuk Ram Singh.
Saksi memberitahu suaminya dia berikan gambar tersebut kerana Ebit terlalu meminta dan saksi tidak sedar terikut dengan arahan Ebit.
“Saya beritahu suami dan suami memang marah pada masa itu, dia tunjuk marah pada Ebit tapi tidak tahu cara macam mana dia mahu jumpa Ebit masa itu, dia betul-betul marah,” katanya semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret, semalam.
Selepas memberitahu suaminya, saksi memadam gambar yang dihantar kepada Ebit, namun bukan padam kesemuanya.
Menurut saksi, dia mengakui tindakan menghantar gambar payudara kepada orang yang tidak pernah dijumpai adalah satu kesalahan.
Saksi juga ada memaklumkan kepada Ebit dia telah memberitahu perkara tersebut kepada suaminya, namun selepas itu Ebit tetap sama sehingga saksi terpaksa sekat nombor telefon Ebit.
“Apabila saya sekat (nombor) di telefon, Ebit call melalui Instagram, dia mesej di Instagram. Jadi, saya terpaksa nyahsekat (nombor Ebit),” katanya.
Berdasarkan semua mesej perbualan yang dihantar, saksi turut menafikan dia menyukai Ebit selain menafikan soalan peguam dia curang kepada suaminya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.










