Rumah Poskad di Beserah bakal diroboh?

Rumah Poskad di Beserah bakal diroboh?

AZLAN Azam (kiri) menunjukkan poskad pelancongan yang memaparkan rumah keluarga mereka yang dikenali dengan Rumah Poskad di Kampung Bugis Beserah, Kuantan. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pemilik sebuah rumah kayu yang dikenali sebagai Rumah Poskad tertanya-tanya tujuan pihak-pihak yang mahu merobohkan rumah pusakanya bagi memberi laluan kepada pembinaan sistem perparitan.

Rumah yang pernah menghiasi poskad bagi kempen menarik pelancong yang terletak di Kampung Bugis, Beserah, di sini itu dianggarkan berusia menghampiri 100 tahun.

Difahamkan, rumah angkat kepada Kelab Pemilik Basikal Klasik Pahang (KPBKP) dan Rumah Klasik Kuantan (RKK) itu juga turut menjadi lokasi pilihan syarikat produksi membuat pengambaran filem dan drama.

Penghuni rumah terbabit, Azlan Azam, 44, berkata, dia mengetahui mengetahui hajat pengambilan tanah terbabit melalui notis yang dipacak di sekitar kawasan rumahnya pada Rabu lalu.

“Saya terkejut baca notis berkenaan kerana kami tidak dimaklumkan apa-apa tentang pengambilan tanah terbabit. Setelah kakak dan abang ipar saya pergi merujuk perkara ini kepada pihak berwajib, barulah kami tahu pengambilan tanah berkenaan adalah untuk membina sistem perparitan.

“Lebih mengejutkan kami, tanah yang akan diambil agak besar dan ditengah-tengah ta­nah pusaka kami sehingga terpaksa mengorban tiga buah rumah dalam tanah pusaka ini termasuk dua buah rumah adik beradik saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Bercerita lanjut, Azlan berkata, sebelum ini ada pihak yang secara tiba-tiba masuk ke dalam kawasan rumah untuk mengu­kur tanah namun tidak dinyatakan apakah tujuan sebenar tanah pusaka itu diukur.

Abang ipar Azlan, Shamsuddin Ahmad, 56, berkata, selepas melakukan semakan dengan pi­hak berwajib, mereka mendapati hampir separuh dari tanah pusaka tiga generasi itu akan diambil untuk tujuan membina sistem perparitan.

“Kami semak keluasan longkang berkenaan adalah lebih kurang 40 kaki lebar (12 meter) dan panjang sekitar 80 kaki (24 meter). Tanah kami daripada 2.5 ekar (0.97 hektar) akan tinggal 1.2 ekar (0.48 hektar). Itupun kami tidak faham kenapa tanah yang diambil adalah di bahagian tengah sehingga terpaksa merobohkan rumah.

“Apa yang lebih kami persoalkan adalah adakah terdapat jaminan sekiranya longkang yang empat kali ganda lebih besar dari jalan raya itu mampu menyelesaikan masalah banjir di kawasan ini? Kami berpendapat ia tidak mampu menyelesaikan masalah kerana mereka tidak melihat kepada punca utama berlakunya banjir ini,” katanya.

Kakak sulung Azlan yang juga pemegang amanah tanah pusaka berkenaan, Azamah, 53, pula berkata, kampung terbabit sudah berpuluh tahun berhadapan dengan banjir berikutan kawasan berkenaan berhampiran dengan muara laut dan banjir akan berlaku setiap kali air pasang besar.

“Kami adik beradik memang membesar dengan banjir. Setiap kali air pasang besar, memang akan berlaku banjir, tapi tidaklah besar dan banjir akan segera surut kerana ia air pasang. Tapi sejak terdapat banyak perumahan baharu di kawasan ini, banjir menjadi bertambah buruk.

“Jadi bukankah mereka perlu mengkaji semula apakah punca sebenar banjir ini? Mengapa tidak dikaji dahulu masalah perparitan di perumahan baharu itu? Mengapa rumah pusaka yang sudah sekian lama berada di sini pula menjadi mangsa?” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN