IPOH: Sepasang suami isteri dihadapkan ke tiga mahkamah berasingan di sini hari ini atas pelbagai pertuduhan melakukan khianat dengan api dan menyimbah cat merah ke atas harta milik beberapa individu dalam beberapa kejadian bulan lalu.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh, M. Dhinakaran dan isterinya, B. Rahtheneswary masing-masing berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan membaling sebotol kaca ‘molotov’ sehingga menyebabkan kerosakan pada sebuah rumah dan sebuah kereta Honda BRV-V milik seorang wanita berusia 51 tahun di sebuah rumah di Pekan Razaki pada pukul 4 pagi, 4 Jun 2026.
Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan niat membinasakan empat buah rumah milik individu berbeza di Taman Kledang Suria, Menglembu pada pukul 5 pagi, 11 Jun 2026.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan api dengan niat menyebabkan kerosakan pada pintu masuk sebuah rumah di Menglembu Bestari, di sini, pada pukul 3.30 pagi, 12 Jun 2026.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM11,000 dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Dhinakaran mengaku bersalah di hadapan Majistret S. Punitha atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pagar dan sebuah kereta milik seorang wanita sehingga menyebabkan kerugian RM1,800 di Dataran Tasek Timur 7, Taman Restu Jaya, pada pukul 5.20 pagi, 5 Jun lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, Dhinakaran sekali lagi mengaku bersalah, manakala Rahtheneswary mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada sebuah kereta milik seorang wanita di Jalan Menglembu Bestari 3, Menglembu Bestari pada pukul 8.30 pagi, 8 Jun lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan terhadap Dhinakaran atau penjara antara enam hingga tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bagi Rahtheneswary, mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Di Mahkamah Majistret berasingan, Dhinakaran dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Norizan Riduan atas pertuduhan melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta milik seorang lelaki di Dataran Pengkalan Barat 4, Taman Temara, pada pukul 5.30 pagi, 4 Jun 2026.
Rahtheneswary yang turut didakwa atas pertuduhan sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










