KULAI: MIC berharap pengundi di negeri ini akan memberikan peluang kepada empat calonnya yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok bagi memastikan isu-isu rakyat diselesai segera.
Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, wakil rakyat daripada parti kerajaan negeri akan dapat memberitahu perkhidmatan lebih baik kepada penduduk setempat, berbanding wakil rakyat pembangkang.
“Kemungkinan besar kerajaan Negeri yang akan dibentuk selepas hari mengundi esok adalah daripada BN. Jadi calon-calon yang kita tampilkan mewakil BN dan mereka mempunyai kredibiliti masing-masing.
“Bagi memastikan isu-isu rakyat dapat diketengahkan sekaligus diselesaikan dengan sebaiknya, kami harap calon-calon BN dan MIC diberikan sokongan tanpa belah bahagi daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Tambah beliau, gesaan itu bukan bermakna wakil rakyat daripada parti politik berlainan dengan kerajaan negeri tidak berkeupayaan menyelesaikan masalah setempat yang dihadapi penduduk tempatan.
“Saya tidak kata jika bukan wakil rakyat BN isi tidak boleh selesai, tetapi ia mungkin akan mengambil sedikit masa kerana kerajaan negeri akan utamakan kawasan yang menyokong mereka.
“Ini realiti dan merupakan perkara biasa di mana-mana negara, pihak kerajaan akan utamakan kawasan yang memberikan sokongan,” katanya.
Vigneswaran turut memberitahu, MIC merupakan sebuah parti politik yang sudah matang dan mampu mewakili masyarakat Malaysia dan rakyat Johor berbilang kaum dan berbeza latar belakang.
PRN Johor ke-16 ini menyaksikan empat calon mewakili MIC iaitu K. Raven Kumar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah; V. Rugendran (DUN Kahang); P. Pannir Selvam (DUN Perling) dan R. Kumaran (DUN Bukit Batu).-UTUSAN










