Aksi terbaik Yamal belum muncul – De la Fuente

Aksi terbaik Yamal belum muncul – De la Fuente

Lamine Yamal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente memberi amaran bahawa aksi terbaik bintang muda, Lamine Yamal masih belum terserlah di Piala Dunia kali ini menjelang pertemuan suku akhir menentang Belgium, hari ini.

Pemain sensasi berusia 18 tahun itu menjadi tonggak kejayaan Sepanyol menjuarai Kejohanan Eropah dua tahun lalu, namun masih belum menunjukkan prestasi terbaiknya di pentas Piala Dunia berbanding beberapa nama besar lain seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Erling Haaland yang rancak mencipta jaringan.

“Kami tahu versi terbaiknya, Lamine yang menyerang, masih belum benar-benar kita lihat dalam Piala Dunia kali ini. Dia belum mencapai tahap yang biasa kita saksikan,” kata De la Fuente.

Yamal setakat ini hanya menjaringkan satu gol tanpa sebarang bantuan jaringan dalam kejohanan tersebut, selepas tiba di Amerika Syarikat (AS) dalam keadaan masih memulihkan kecederaan yang dialami pada penghujung musim.

Bagaimanapun, pemain sayap Barcelona itu tetap menjadi ancaman berterusan kepada pertahanan lawan, terutama menerusi gerakan menyerang di bahagian kanan Sepanyol.

Selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Portugal pada pusingan terdahulu, De la Fuente menyifatkan aksi Yamal sebagai antara persembahan terbaiknya serta hari yang sangat penting dalam perkembangan kariernya.

Diminta menjelaskan kenyataan tersebut pada sidang media semalam, De la Fuente berkata, pertarungan sengit Yamal dengan pertahanan Portugal, Nuno Mendes menyebabkan pemain lawan itu terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-55.

“Kami berdepan pasukan lawan yang sangat kuat dan pemain pertahanan yang ditugaskan mengawalnya akhirnya terpaksa bekerja terlalu keras sehingga mengalami kecederaan,” katanya.

Menurut De la Fuente, pengalaman berdepan pelbagai cabaran sepanjang Piala Dunia kali ini membantu Yamal membina kematangan walaupun usianya masih muda.

“Dia tidak memerlukan motivasi tambahan. Malah kadang-kadang kami perlu menenangkan semangatnya kerana dia terlalu bermotivasi dan mahu melakukan terlalu banyak perkara,” katanya.

Sepanyol menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum dibolosi dalam kejohanan ini, namun mereka bakal berdepan Belgium yang meledak empat gol ketika menyingkirkan AS pada Isnin lalu.

Ditanya sama ada aksi suku akhir ini mampu menjadi pentas untuk Yamal kembali menemui jaringan, De la Fuente yakin anak buahnya itu akan memberikan impak besar.

“Dia akan menyerlah dalam aspek serangan, itu sudah pasti.

“Dia mempunyai potensi yang luar biasa dan dalam beberapa aspek, aksi terbaiknya masih belum tiba,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN