KAJANG: Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemukan selamat di pekan Beranang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan berkaitan penemuan remaja itu, Raisya Rasyiqah Mohd Rashdan, 15, dibuat oleh ibunya pada pada 4.55 petang.
“Remaja terbabit dilaporkan ditemukan sedang berjalan seorang diri di pekan Beranang sekitar jam 1.15 tengah hari oleh rakan sekolahnya.
“Remaja itu kemudian dibawa ke Balai Polis Beranang sebelum pihak polis menghubungi keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan remaja perempuan itu hilang selepas kali terakhir dilihat berada di kawasan sebuah sekolah menengah dekat sini, Isnin lalu.
Laporan berkaitan kes Orang Hilang (OH) iaitu anak ketiga daripada empat beradik berkenaan kemudiannya dibuat ahli keluarga remaja itu di Balai Polis Beranang.
Difahamkan remaja terbabit lewat balik pada 12 Ogos lalu dan ditemukan ibunya di kawasan Beranang sebelum OH bertindak melarikan diri sehingga gagal dikesan sehingga semalam.- UTUSAN










