PORT DICKSON: Seekor penyu karah berusia kira-kira 15 tahun dilepaskan di perairan Tanjung Tuan di sini, hari ini bagi membolehkan kajian berkenaan penyu dilaksanakan khususnya di kawasan perairan pantai pelancongan Port Dickson.
Penyu yang diberi nama Puteri Tanjung oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli itu merupakan sumbangan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC), Rantau Abang, Terengganu.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, pihaknya berbesar hati apabila TUMEC melaksanakan kajian kali pertama membabitkan habitat penyu di perairan Port Dickson dan berdekatan buat pertama kalinya dengan melepaskan penyu karah bersatelit itu.
“Penyu ini dilengkapi Platform Terminal Transmitters (PTTs) yang merupakan salah satu jenis alat transmitter satelit yang digunakan dalam penelitian migrasi penyu dan dipasang pada karapas atau cangkerang penyu.
“PTT yang dipasang boleh bertahan sehingga dua hingga tiga tahun sebelum kehabisan bateri atau selagi tidak tertanggal,” katanya pada Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin Port Dickson, di sini, hari ini.
Pada program itu juga sebanyak 50 ekor anak ikan inggu spesies Amphiprion ocellaris yang berusia empat hingga enam bulan bergenerasi F3 dan 1,500 ekor benih ikan siakap turut dilepaskan.
Dalam pada itu, Kasim berkata, data yang diperoleh dari PTTs itu akan membantu dalam memahami, merancang dan melaksanakan strategi konservasi yang efektif terutamanya di pantai Port Dickson yang telah mencatatkan sebanyak 15 pendaratan penyu untuk bertelur tahun ini.
Menurutnya, informasi mengenai pergerakan penyu membantu dalam menetapkan kawasan konservasi yang penting dan melindungi habitat-habitat bagi spesies yang terancam berkenaan.
“Puteri Tanjung ini berkemungkinan akan ke utara iaitu sampai ke perairan Perak, Pulang Pinang, atau mungkin juga ke perairan Riau dan Singapura.
“Kajian ini penting untuk mempelajari sifat-sifat penyu, tempat makan penyu yang kebiasaannya ada ikan, rumpai laut dan kita boleh melindungi kawasan berkenaan supaya tidak dicemarkan atau dirosakkan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Faizal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri dalam pada itu berkata, program pemuliharaan biodiversiti marin berkenaan amat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memulihara sumber laut dan warisan batu karang yang terdapat di perairan Port Dickson.
“Sumber warisan (batu karang) ini menjadi tarikan kepada pengunjung untuk melihat keindahannya. Oleh itu, usaha memuliharanya mengambil masa yang panjang dan mendapat kerjasama dari penyelam sukarelawan untuk membersihkan laut dari sampah-sarap.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pihak industri untuk sama-sama menjaga kebersihan perairan Port Dickson seterusnya melonjakkan lokasi Tanjung Tuan sebagai lokasi yang menarik untuk dikunjungi bagi peminat aktiviti selam snorkel.-UTUSAN.










