GUA MUSANG: Persiapan untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini esok berjalan lancar.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nik Raisnan Daud berkata, setakat ini, semua proses berjalan lancar dan simulasi penamaan calon turut diadakan hari ini.
“Persiapan bagi proses penamaan calon berjalan lancar dan seramai 424 petugas SPR terbabit esok.
“Hanya 30 penyokong bagi setiap calon dibenarkan masuk ke dalam kawasan persekitaran pusat penamaan. Bagi penyokong lain, mereka hanya dibenarkan berada pada jarak 50 meter dari pekarangan dewan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah membuat pengumuman pengosongan luar jangka kerusi berkenaan pada 13 Jun lalu.
Ia dibuat selepas Mohd. Amar menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi Abu Naim.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN










