PETALING JAYA: Bukan semua majikan mampu menaikkan kadar gaji minimum pekerja terutama pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang masih berdepan cabaran aliran tunai.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, terdapat banyak syarikat kecil dan mikro masih berada dalam fasa pemulihan pascapandemik Covid-19.
Justeru, menurut beliau, semakan gaji minimum pekerja swasta perlu mengambil kira keupayaan majikan untuk menanggung dan melaksanakan kadar baharu gaji yang dicadangkan.
“Ketidakmampuan untuk menguruskan aliran tunai dengan berkesan boleh menyebabkan kesukaran dalam memenuhi kewajipan kewangan yang berpotensi mempengaruhi kelangsungan perniagaan.
“Peningkatan mendadak gaji minimum boleh menyebabkan tekanan kewangan tambahan yang mungkin menyebabkan pemberhentian pekerja atau penutupan perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata beliau, pada setiap dua tahun, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan menjalankan kajian mengenai gaji dan sekiranya terdapat keperluan untuk meningkatkan gaji minimum, MPGN akan berbincang dengan semua pihak termasuk MEF.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan bahawa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan meneliti semula kadar gaji minimum selain menaikkan sekurang-kurangnya 10 peratus berbanding RM1,500 yang ditetapkan dua tahun lalu kerana jumlah itu tidak lagi relevan.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, MPGN bersetuju untuk mencadangkan kadar gaji minimum baharu kepada kerajaan yang mempunyai budi bicara untuk menilai dan mempertimbangkan cadangan tersebut.
Kata beliau, mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (NWCC), sekiranya kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, mereka boleh meminta MPGN untuk mengkaji semula cadangan itu untuk kebaikan kedua-dua pihak. – UTUSAN










