Penduduk lega kerja pemulihan tebing runtuh mula dilaksanakan

Penduduk lega kerja pemulihan tebing runtuh mula dilaksanakan

KERJA-KERJA pemulihan runtuhan tebing giat dilaksanakan di Cassia Garden Residence, Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Selepas pendedahan Utusan Malaysia berhubung kebimbangan kira-kira 1,000 penduduk di perumahan Cassia Garden Residence, di sini, mengenai runtuhan tebing, kerja-kerja pemulihan giat dijalankan kira-kira sebulan lalu.

Menurut seorang penduduk, Roesman Uthman, 62, tindakan itu amat melegakan kerana kejadian runtuhan tersebut terlalu hampir dengan kediamannya dan berisiko mengancam nyawa.

Dia berkata, kerja-kerja pemulihan itu dilaksanakan pemaju, Mah Sing Group iaitu pemaju utama perumahan di sini dengan pemantauan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

“Saya berterima kasih kepada MPSepang khususnya Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu atas tindakan pantas beliau untuk memulihkan tebing ini.

“Saya turut berterima kasih kepada Utusan Malaysia kerana melaporkan masalah ini sehingga mendapat perhatian pihak berwajib,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mei lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 1,000 penduduk di perumahan itu bimbang keadaan runtuhan tebing di kawasan berhampiran mengundang bahaya dan berisiko mengancam nyawa.

Lebih membimbangkan, runtuhan tebing itu yang dikesan sudah membentuk kawah sedalam 8 hingga 10 meter atau bersamaan tinggi bangunan tiga tingkat kini semakin menghampiri kawasan kediaman penduduk.

Berdasarkan tinjauan, runtuhan itu sudah menghakis sepanjang 10 hingga 15 meter dan sudah pun meruntuhkan benteng pagar batu antara tebing dengan perumahan itu.

Rentetan itu, Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang segera turun ke padang melihat insiden itu sekali gus mengarahkan MPSepang untuk mengambil tindakan segera membaik pulih runtuhan tebing itu

Pada masa sama, beliau memberi jaminan kerja-kerja pembaikan segera dengan memasang jeriji besi akan dimulakan bagi mengelak runtuhan susulan berlaku ekoran pergerakan tanah masih aktif.

Pihak MPSepang mengetusi kerja-kerja pembaikan dan dipantau secara terus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) termasuk memberi kelulusan terus peruntukan di bawah kerja-kerja kecemasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN