Pementasan teater Tanjong II - Khilaf dapat sambutan - Utusan Malaysia

Pementasan teater Tanjong II – Khilaf dapat sambutan

PARA tetamu kenamaan dan pelakon bergambar selepas berakhir pementasan teater Tanjong II - Khilaf di Seremban semalam.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih 600 orang teruja menyaksikan pementasan teater Tanjong II – Khilaf selama dua hari di auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan di sini yang berakhir malam tadi.

Pementasan teater berkaitan Adat Perpatih itu mendapat sambutan memberansangkan dengan tiket untuk menyaksikan persembahan itu habis dijual.

Teater hasil karya Prof. Madya Dr. Ahmadrashidi Hasan itu mengisahkan mengenai pelantikan Penghulu Luak Tanjung yang menimbulkan perbalahan.

Seramai 32 pelakon terlibat menjayakan pementasan teater tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan.

Menurut Ahmadrashidi yang juga pengasas kelab teater tersebut, jalan cerita itu digarap bertujuan mengangkat martabat Adat Perpatih yang menjadi pegangan penduduk di Negeri Sembilan.

“Jalan cerita persembahan ini adalah serius dengan harapan para penonton dapat memahami tata cara pelantikan ketua adat di Luak Tanjung,” katanya.

Tambahnya, pementasan teater itu adalah kesinambungan daripada Tanjong I yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada September 2022.

“Kami mempunyai rancangan untuk meneruskan kisah ini melalui Tanjong III,” ujarnya.

Antara yang menyaksikan pementasan teater itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN