KUALA KRAI: Pembinaan jalan kekal di Dabong-Jeli berhampiran Kubur Datu yang runtuh akibat banjir awal tahun ini sudah mencapai 60 peratus.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sekali gus menyaksikan projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.
“Setakat ini, projek berkenaan sedang dalam pembinaan ‘box culvert’. Bagaimanapun, laluan sementara telah siap dan sudah boleh digunakan.
“Kerajaan berharap ia dapat memudahkan urusan penduduk dan pengguna laluan tersebut,”katanya pada pemberita selepas mengadakan Lawatan ke Projek Penggantian Jambatan FT008/342/80 Sungai Durian,di sini hari ini.
Utusan Malaysia 9 Januari lalu melaporkan, pengguna jalan Jeli-Dabong berhampiran Kampung Kubur Datu di sini yang runtuh akibat banjir kembali boleh menggunakan laluan itu apabila jambatan Bailey telah siap dibina.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata, pembukaan jambatan itu akan memudahkan urusan penduduk dan pengguna laluan tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun jalan tersebut hanya boleh digunakan oleh sesebuah kenderaan pada satu-satu masa.-UTUSAN










