Malbatt 850-11: Malaysia sudah ada perancangan jika konflik merebak ke Lubnan - Utusan Malaysia

Malbatt 850-11: Malaysia sudah ada perancangan jika konflik merebak ke Lubnan

MOHAMED Khaled Nordin (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Bahagian Jelebu 2024, di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang, Jelebu hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Kementerian Pertahanan sudah mempunyai perancangan bersesuaian buat anggota tentera Malaysia dari Batalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan sekiranya konflik perang di Gaza merebak ke negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu termasuklah kemungkinan untuk membawa balik lebih 800 anggota serta pegawai pasukan itu namun perancangan itu sudah tentu berdasarkan persetujuan bersama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita telah pun ada perancangan sekiranya konflik merebak ke Lubnan, kita sudah ada perancangan bagaimana mahu bawa balik anggota-anggota kita tetapi oleh kerana mereka ini pasukan pengaman PBB, apa sahaja pergerekan kita pada akhirnya (perlu) persetujuan PBB.

“Namun, kita sudah pun menyediakan pelan, perancangan sekiranya berlaku apa-apa di Lubnan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Bahagian Jelebu 2024, di Komples UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang Ketua UMNO BahagiaJelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Lubnan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan kesiapsiagaan tentera yang tinggi selepas serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada Selasa lalu telah mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr.

Beberapa syarikat penerbangan dari Amerika Syarikat, Belanda, India, United Kingdom, Jerman, Switzerland, Itali, Greece, Perancis dan Poland juga mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan ke Israel dan Lubnan atas sebab keselamatan.

Pada tahun lalu, Malaysia menghantar pasukan Malbatt 850-11 melibatkan 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Malbatt 850-11 akan ditempatkan di dua kem iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin di Lubnan dan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh Unifil khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

Sementara itu, dalam perkembangan mengenai isu kelewatan kontraktor dilantik bagi penghantaran pertama helikopter Black Hawk, Mohamed Khaled menegaskan pihaknya telah berbincang bagi mencari jalan terbaik berhubung isu berkenaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN