KUANTAN: Sebut lebuh raya, semua membayangkan laluan panjang dan terbentang luas dengan laluan empat lorong yang sesuai untuk semua jenis kenderaan untuk memandu dengan selesa dan selamat.
Namun lain bagi Lebuhraya Kuantan-Segamat atau Lebuhraya Tun Razak yang didakwa `hancur’ kerana banyak masalah sehingga kerap berlaku kemalangan terutama membabitkan pemandu luar..
Pengguna terutama yang berulang-alik di laluan sepanjang 146.8 kilometer dengan kos berbilion merungut dan mempersoalkan bentuk fizikal lebuh raya tersebut yang sangat daif dan sama taraf jalan kampung.
Antara isu di sepanjang lebuh raya itu ialah laluan sempit hanya satu lorong, banyak lubang, jalan tidak rata, tiada bahu jalan manakala garisan putih tidak jelas. Masalah-masalah tersebut sangat ketara terutama selepas Bandar Tun Abdul Razak Muadzam Shah menuju ke Segamat. Di laluan antara Muadzam Shah ke simpang Bahau, Negeri Sembilan, lebuh raya itu yang disediakan dua lorong namun hanya satu lorong boleh digunakan kerana laluan satu lagi rosak.
Semua kekurangan tersebut menyebabkan setiap bulan pasti ada sahaja kemalangan dilaporkan.
Pada 7 Januari lalu, di laluan Jalan Kuantan-Segamat (FT012) ditutup kepada semua kenderaan kerana masalah jalan berlubang dan hampir putus di Seksyen 102 (berhampiran kawasan Burung Unta).
Kejadian itu bukan pertama kali dan punca utama kejadian lebuh raya hampir putus kerana berlaku mendapan di jalan tersebut. Mendapan pula disebabkan aliran air Sungai Temiang yang berada di laluan terbabit.

Keadaan ini sentiasa berlaku lebih-lebih lagi ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang menyebabkan air Sungai Temiang banyak dan aliran air laju yang menghakis jalan sekali gus menyebabkan berlakunya mendapan melibatkan keseluruhan rentangan jalan di situ.
Pada 9 Jun lalu, sebuah bas persiaran membawa rombongan guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka terlibat kemalangan. Dalam nahas tersebut empat nyawa membabitkan dua guru, seorang kakitangan sekolah dan pemandu kedua bas persiaran tersebut melayang.
Kemalangan terbabit membuka mata beberpa pihak selain kritikan warganet yang mempersoalkan lebuh raya tersebut yang perlu dinaik taraf sesuai dengan namanya.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menitahkan agar kerajaan Persekutuan membantu kerajaan negeri menilai semula tahap keselamatan Lebuh Raya Kuantan-Segamat.
STATISTIK KEMALANGAN
Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, sebanyak 392 kemalangan dicatatkan tahun lalu dengan 11 kemalangan maut membabitkan 13 kematian. Jumlah kemalangan menunjukkan peningkatan berbading tahun sebelumnya iaitu 356 kes dengan lapan kemalangan maut dan sembilan kematian. Setakat Julai tahun ini pula, sebanyak 186 kemalangan dengan enam kemalangan maut dan enam kematian.
Lebuhraya Tun Razak merupakan laluan Persekutuan yang dibina bermula dari Segamat, dan berakhir di Gambang di Kuantan. Sepanjang lebuh raya itu tiada hentian rawat dan rehat (R &R). Lebuh raya itu juga tiada kutipan tol.
Pembinaan lebuh raya terbabit bermula pada 1970 dan dirasmikan pembukaannnya pada 1983 serta diwartakan sebagai Jalan Persekutuan pada 1989.
Malu dengan orang luar
Seorang penduduk Felda Selancar 1, di Rompin, Mohamad Badrul Nizam Azmi, 25, berkata, dia malu dengan orang luar kerana lebuh raya di negerinya tidak seperti lebuh raya di negeri-negeri lain.
“Rakan-rakan penunggang motosikal saya dari Johor ke Kuantan mengadu dan mempersoalkan kenapa dipanggil lebuh raya sedangkan tidak seperti lebuh raya,” ceritanya.
Abdul Rauf Idrus, 61, berkata, dia sering melalui lebuh raya berkenaan dari Muadzam Shah, Rompin menuju ke Bahau bagi mengambil barang perniagaannya.
Dia sudah 13 tahun menggunakan laluan itu dan merasakan laluan berkenaan paling ‘bermasalah’.
“Boleh dikatakan dalam seminggu dua atau tiga kali saya gunakan lebuh raya ini. Pada saya, keadaan laluan dari Gambang ke Muadzam Shah lebih baik berbanding laluan dari Muadzam Shah menuju ke Segamat terutamanya laluan di Keratong, terlalu banyak jalan rosak.

“Bukan sahaja rosak, jalannya juga terlalu gelap dan sempit. Bahu jalan tidak ada dan jika ada lorong memotong tidak boleh digunakan kerana jalan tidak cantik menjadikan hanya satu lorong sahaja yang boleh digunakan.
“Apabila hujan laluan itu lebih bahaya. Tambahan pula garisan jalan yang tidak jelas. Ia sangat berbahaya terutama kepada mereka yang tidak biasa menggunakan laluan ini. Disebabkan itu, kebanyakkan kemalangan yang berlaku di laluan ini melibatkan orang luar,” katanya.
Seorang lagi, Mohd. Nazarudin Ismail, 56, bekata, dia menggunakan lebuh raya itu sejak 30 tahun lalu dan laluannya jauh berbeza berbanding lebuh raya di negeri lain.
“Kalau kita sedang tidur dalam perjalanan kita akan terjaga sebaik memasuki Lebuhraya Tun Razak.
“Kita tidak minta jalan secantik sama seperti Lebuhraya Pantai Timur (LPT), cukuplah jika seperti laluan dari Kuantan ke Pekan itu yang mempunya lorong memotong yang lebih banyak dan jalan yang terang. Jangan tunggu sehingga ada kemalangan maut b barulah pihak berwajib hendak mengambil tindakan,” ujarnya.
KELUARGA MANGSA KEMALANGAN TRAUMA
Melalui laluan dari Felda Selancar 1 menuju ke Muadzam Shah atau ke Segamat menggunakan Lebuhraya Tun Abdul Razak menimbulkan rasa trauma buat ahli keluarga mangsa kemalangan lima tahun lalu.
Dalam tragedi tersebut, seorang jururawat, Allahyarhamah Rahimah Jaafar dan anak lelakinya, Allahyarham Muhammad Zamil Abdul Aris yang ketika itu baru berusia lapan bulan terkorban.
Kakak mangsa, Zuraidah Jaafar, 43, berkata, setiap kali melalui jalan berkenaan, mereka sekeluarga akan terkenangkan peristiwa meragut nyawa adik dan anak saudaranya itu.

Mengimbau peristiwa pada 23 Disember 2018, beliau berkata, Allahyarhamah Rahimah ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kampung Jawa, Segamat, Johor bersama dua anaknya untuk mengambil bapa mereka bagi menjalani rutin rawatan di Hospital Segamat.
“Masa kejadian sekitar pukul 9.30 pagi dan ketika itu saya di rumah kerana sedang berpantang. Ketika dapat berita tentang kejadian pukul 10 pagi, abang sulung bergegas ke lokasi kejadian.
“Arwah adik dan anak bongsunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Perwira Jaya manakala anak sulung arwah, Firas yang kini sudah berusia 11 tahun cedera dan menerima rawatan di Hospital Segamat,” katanya.
Imbaunya lagi, dia dimaklumkan kemalangan terbabit berlaku kemungkinan kerana Allahyarhamah Rahimah yang memandu Perodua Alza cuba mengelak lubang sebelum terbabas.
“Laluan di kawasan kemalangan itu memang terdapat lubang besar dan tambahan pula jalan agak sempit. Sekarang laluan terbabit telah dibaik pulih dan saya berharap agar tiada lagi kejadian kemalangan berlaku di kawasan ini,” katanya memberitahu kebanyakkan kemalangan yang berlaku di laluan berkenaan membabitkan pengguna luar.
Katanya, masalah utama Lebuhraya Kuantan-Segamat terutama dari Muadzam Shah menuju ke Segamat adalah tiada lampu jalan di setiap simpang utama.
“Suami saya bekerja di Perak dan setiap kali pulang ke Felda Selancar 1, saya akan ingatkan suami berhati-hati terutama ketika malam kerana suami beritahu sering terlepas simpang kerana tiada lampu.
“Saya juga sering berulang ke Muadzam Shah kerana bapa mentua tinggal di sana. Kalau hari siang pun saya takut, apatah lagi ketika malam,” katanya.
Bagaimanapun, Zuraidah difahamkan usaha-usaha memasang lampu jalan terutama di simpang-simpang utama sedang dilakukan terutama selepas kejadian kemalangan membabitkan bas persiaran membawa rombongan guru dan kakitangan SK Jeram, Masjid Tanah.
“Selain laluan dari Felda Selancar 1 menuju ke simpang lebuh raya sebahagiannya sudah dibaiki, saya lihat mereka juga mula membaiki dan memasang lampu jalan. Diharapkan usaha membaikpulih laluan ini dapat memberikan keselesaan kepada penggunanya,” ujarnya.
PROSES NAIK TARAF
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ir. Razali Kassim berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menjalankan kerja-kerja penambahbaikan lebuh raya berkenaan terutama di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.
“Tindakan sudah ada dan kini dalam peringkat untuk mengiklan tender bagi kerja-kerja membuat garisan jalan dan melebarkan jalan yang sempit. Kerja-kerja penaikantaraf jalan yang kerap berlaku kemalangan ini akan berjalan selepas proses-seperti memberi tender dan sebagainya selesai,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad pula berkata, susulan tragedi rombongan SK Jeram, Masjid Tanah beberapa tindakan sudah diambil JKR termasuk menyelenggarakan lampu jalan yang tidak berfungsi.
“Untuk simpang tiga di Bahau, JKR sudah pasang lampu dan akan diteruskan di tempat lain.
“Semua demi keselamatan pemandu yang menggunakan laluan ini,” kata beliau. – UTUSAN










