Lebuh raya berdarah dikenang, lumpuhkan komunis - Utusan Malaysia

Lebuh raya berdarah dikenang, lumpuhkan komunis

K. SARASWATHY melawat pameran berkenaan Lebuhraya Timur Barat (LRTB) sewaktu majlis Pengkisahan Sejarah LRTB di Gerik, hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Arkib Negara mahu mendokumentasikan maklumat lisan tentang pembinaan Lebuhraya Timur-Barat (LRTB) yang dilihat sebagai antara projek penting dapat melumpuhkan keganasan komunis di Malaysia.

LRTB ialah jalan raya berturap dua hala sepanjang 116 kilometer merentasi banjaran Titiwangsa, menyambungkan pekan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak yang mengambil tempoh 12 tahun sehingga siap dibina pada 1982.

Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy berkata, pembinaan lebuh raya itu bukan sahaja berhadapan cabaran dari segi rupa bumi, cuaca serta kekurangan peralatan dan pekerja mahir, malah ancaman Komunis yang sedang mengganas di selatan Thailand.

“Boleh dikatakan sebagai projek serampang dua mata. Selain menghubungkan wilayah timur dan barat Semenanjung Malaysia, ia berperanan menghapuskan pengaruh Komunis sewaktu era darurat kedua di Malaysia dari tahun 1967 hingga 1989.

“Asasnya pada waktu itu adalah sekiranya kawasan hutan yang menjadi lubuk Komunis ini ditarah dan dibangunkan, kerajaan akan dapat menghambat mereka keluar dan memberi kelebihan kepada pasukan keselamatan mengekang kemasukan Komunis ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Pengkisahan Sejarah LRTB di sini hari ini dengan turut menampilkan beberapa tokoh, pengkaji dan mereka yang terlibat sepanjang tempoh pembinaan lebuh raya tersebut hampir 50 tahun lalu.

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu tidak dapat lari daripada rantaian keganasan Komunis termasuk kejadian serangan di Batu 2, Air Banun, Gerik pada 27 Ogos 1974 yang mengakibatkan tiga pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) terkorban.

Katanya, LRTB menelan belanja RM364 juta akhirnya berjaya direalisasikan dan dinikmati rakyat pada 1 Julai 1982 yang kini telah meliputi laluan sepanjang 313.71 kilometer antara Baling, Kedah sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN