ISKANDAR PUTERI: Seramai 2,727,926 pemilih yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini diingatkan agar mematuhi waktu pengundian dan penutupan pusat mengundi.
Ketua Program Pengurusan Latihan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata, peringatan itu penting susulan terdapat beberapa lokasi pusat mengundi akan ditutup lebih awal berbanding waktu biasa.
Katanya, sebanyak 1,076 pusat mengundi akan dibuka pada PRN Johor ini, namun ada yang akan ditutup seawal 11 pagi dan 12 tengah hari.
“Ini perkara penting yang perlu dimaklumkan kepada pengundi di negeri ini. Sebanyak 1,014 pusat mengundi akan ditutup pada pukul 6 petang, namun terdapat 42 pusat mengundi yang ditutup pada pukul 4 petang; 17 pusat mengundi ditutup pukul 2 petang; dua ditutup pada pukul 12 tengah hari dan sebuah pusat mengundi ditutup seawal pukul 11 pagi.
“Penutupan pusat pengundi lebih awal disebabkan beberapa faktor antaranya jumlah pengundi yang kecil serta lokasi yang agak jauh, dimana memerlukan tempoh masa panjang untuk dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” katanya ketika Taklimat Petugas Media bagi PRN Johor yang berlangsung di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini hari ini.
Tambah Nik Aminudin, inisiatif sama turut dibuat pada Hari Undi Awal iaitu pada 7 Julai, dimana daripada 64 pusat mengundi 31 akan ditutup pada pukul 12 tengah hari, lima ditutup pada pukul 2 petang dan 28 lagi ditutup pada pukul 5 petang.
“PRN Johor ke-16 ini menyaksikan pertambahan sebanyak 57 pusat mengundi menjadi 1,140 berbanding hanya 1,083 pada PRN Johor 2022 yang lalu. Jumlah saluran mengundi juga bertambah daripada 4,720 pada PRN Johor 2022, menjadi 4,980 iaitu pertambahan sebanyak 260 saluran mengundi,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, SPR mengumumkan seramai 2,727,926 pemilih layak mengundi bagi PRN Johor Ke-16 berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini sehingga 31 Mei lalu.
Daripada jumlah itu, 2,703,175 akan mengundi pada 11 Julai nanti, manakala 24,751 lagi pemilih adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan polis.-UTUSAN










