ALOR SETAR: Kejohanan Bola Sepak Liga Kedah 2026 Piala DZR dilihat mampu menjadi platform penting dalam usaha mencungkil bakat-bakat muda negeri ini, sekali gus mengembalikan kegemilangan sukan tersebut di Kedah.
Penaung Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Zuraidi Rahim berkata, kejohanan itu menghimpunkan 16 pasukan terbaik dari seluruh Kedah yang mewakili kelab serta ahli gabungan masing-masing bagi merebut kejuaraan edisi kali ini.
Menurutnya, sambutan yang diterima pada tahun ini jauh lebih menggalakkan berbanding penganjuran terdahulu apabila semakin banyak pasukan baharu tampil menunjukkan minat untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Dalam konteks bola sepak Kedah hari ini, kita perlu menggerakkan satu usaha yang lebih besar bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi sebelum ini. Sebab itu, pemilihan 16 pasukan ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemain-pemain muda berbakat mempamerkan kemampuan masing-masing dalam suasana pertandingan yang kompetitif.
“Malah, kejohanan ini bukan sekadar pertandingan biasa, sebaliknya menjadi medan pencarian bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada Majlis Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Liga Kedah 2026 Piala DZR, di sini hari ini.
Zuraidi berkata, matlamat utama penganjuran kejohanan itu adalah untuk membentuk generasi baharu pemain berkualiti yang mampu mengangkat semula martabat bola sepak Kedah.
Katanya, terdapat sedikit kelesuan dalam perkembangan bola sepak negeri sejak kebelakangan ini dan keadaan tersebut memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan kesinambungan pembangunan pemain muda dapat diteruskan.
“Kita mahu melihat anak-anak Kedah bukan sahaja mampu mewakili negeri, malah berjaya menjadi pemain profesional yang disegani di peringkat kebangsaan pada masa hadapan.
“Kedah mempunyai sejarah yang cukup besar dalam pembangunan bola sepak negara dengan melahirkan ramai pemain berkualiti yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya.
Kejohanan yang dijadual bermula pada 3 Julai depan itu akan berlangsung di dua venue utama iaitu Stadium Mini Pendang dan Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP). Pasukan yang muncul juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala naib juara akan menerima RM3,000. – UTUSAN










