KUALA LUMPUR: Rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hampir selesai dan menunggu masa untuk dimuktamadkan.
Perkembangan itu sekali gus menafikan desas-desus kononnya gabungan berkenaan tidak akan bertanding dalam PRN akan datang.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebahagian besar rundingan sudah diselesaikan, namun masih terdapat beberapa kerusi yang belum dimuktamadkan.
Katanya, perbincangan itu dibuat menerusi jawatankuasa khas yang diwakili dua wakil daripada setiap parti komponen.
“Dari segi peratusan, banyak yang sudah selesai. Ada beberapa kerusi yang belum dapat dimuktamadkan.
“Kita akan sambung esok pagi untuk selesaikan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.
Diminta mengulas mengenai dakwaan PN tidak akan bertanding, Annuar menolak perkara itu dan menegaskan gabungan berkenaan tetap akan memasuki gelanggang pilihan raya.
Beliau berkata, pengumuman rasmi berhubung pembahagian kerusi dijangka dibuat Khamis ini selepas rundingan selesai.
“Jangan rasa takut. PN akan bertanding,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan berkata, rundingan kerusi PN sudah melepasi lebih separuh daripada keseluruhan 56 kerusi.
Beliau berkata, rundingan masih berjalan dan pengumuman rasmi mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi dijangka dibuat Khamis ini sekiranya segala perbincangan dimuktamadkan.
“Kita buat perbincangan dan rundingan kerusi sebab kita nak bertanding. Setakat ini, lebih separuh daripada kerusi sudah selesai, cuma tunggu sedikit lagi kerusi yang belum dimuktamadkan.
“Daripada 56 kerusi, berapa jumlah yang akan ditandingi, kita akan umumkan. Mungkin Khamis ini kalau semuanya selesai,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya PN tidak akan bertanding, Punithan turut menafikan perkara itu dan berkata, tumpuan ketika ini adalah kepada empat parti dalam gabungan berkenaan berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi.
“Kita nak guna logo PN, sebab itu kita adakan rundingan bersama,” katanya.
Terdahulu, PN memulakan rundingan agihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.
Rundingan itu diadakan susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, semalam untuk mengaktifkan Jawatankuasa Rundingan Kerusi yang dianggotai wakil daripada setiap parti komponen.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan dihadiri Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Annuar.
Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Mesyuarat dijangka bersambung esok pukul 10 pagi. – UTUSAN










