BAITULMAQDIS: Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh sementara puluhan lagi cedera dalam serangan Israel ketika kumpulan pelarian berkenaan sedang solat Subuh di sebuah sekolah di Gaza yang menjadi lokasi perlindungan.
Tentera Udara Israel (IAF) mempertahankan serangan ke Sekolah Al-Taba’een yang didakwa menjadi pusat operasi kumpulan pejuang Hamas.
Pejabat media Gaza dalam satu kenyataan memaklumkan, serangan rejim Zionis itu dibuat ketika pelarian yang berlindung di situ sedang melaksanakan solat Subuh, mengakibatkan jumlah korban yang tinggi dengan ada antara mayat mangsa rentung.
“Sebanyak tiga roket mengenai kawasan sekolah yang bersambung dengan sebuah masjid di Daraj Tuffah.
“Anggota pasukan penyelamat dilihat cuba mengawal api yang marak bagi mengeluarkan mayat mangsa serta menyelamatkan penduduk yang cedera,” jelas kenyataan tersebut.
IAF dalam satu kenyataan mendakwa tenteranya berjaya menyerang pusat komando dan kawalan yang berfungsi sebagai tempat persembunyian pejuang Hamas.
“Sebelum serangan, pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko kecederaan orang awam termasuk pengawasan udara dan maklumat perisikan,” dakwanya.
Serangan itu berlaku dua hari selepas pihak berkuasa Gaza melaporkan lebih 18 terbunuh dalam serangan Israel ke dua sekolah lain di Gaza City.- AGENSI









