SEREMBAN: Meskipun sudah 47 tahun berlalu, peristiwa terpijak jerangkap samar yang ditanam musuh masih segar dalam ingatan seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD),
Akibat tragedi itu, Sulaiman Maarof, 72, kudung kaki kanannya sehingga paras lutut ketika operasi menjejak pasukan komunis di Gerik, Perak itu.
Menyorot kembali detik tersebut, katanya, sebelum tragedi yang berlaku pada 29 Januari 1977 itu, dia dan pasukan sepatutnya telah berangkat pulang selepas giliran operasi menjejak komunis disertainya telah selesai.
“Bagaimanapun, ada orang awam ketika itu telah menemui kami dan memberitahu ternampak ada pihak yang memakai uniform seakan komunis. Jadi kami sepasukan berpatah balik untuk melihat kawasan dan keesokan harinya pada tengah hari, saya yang mengetuai pasukan telah meronda dan menjejaki komunis semula ke dalam hutan dipanggil sektor lima di Kem Rimba.
“Menuju ke lokasi, saya yang berada di bahagian depan tanpa disedari telah terpijak jerangkap samar. Akibat itu, satu letupan yang kuat berlaku dan saya tercampak beberapa meter, ia berlaku terlalu pantas dan apabila saya tersedar baharulah berasa amat sakit.
“Saya melihat kaki sudah hancur dan darah sudah membasahi seragam. Rakan yang lain terselamat kerana walaupun bergerak dalam kumpulan tapi berjarak beberapa meter,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Rumah Rakyat Kampung Panchor di sini.
Sulaiman yang ketika itu berusia 25 tahun berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana Allah SWT menyelamatkan nyawanya.
“Di kawasan itu terdapat enam butir lagi jerangkap samar telah ditanam pihak musuh, dan nasib umur saya panjang kerana ketika terkena jerangkap samar saya telah melambung dan tercampak ke belakang.
“Jika saya tercampak ke kiri dan kanan, memang nyawa saya telah melayang ketika itu,” katanya yang berasal dari Pasir Panjang, Port Dickson. – UTUSAN










