PASIR MAS: Kerajaan Kelantan dan Persekutuan memperuntukkan RM26 juta sejak 2006 untuk membangunkan tanah terbiar di negeri ini dalam usaha memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM12.6 juta diperuntukan oleh kerajaan negeri dan selebihnya persekutuan.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, seluas 3,332.92 hektar tanah telah dibangunkan dan diusahakan menggunakan peruntukan itu sejak 2006 hingga tahun lalu.
“Kerajaan negeri akan terus berusaha membangunkan dan mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar bagi tujuan pertanian di Kelantan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Tani Negeri Kelantan Tahun 2024 di Dataran Bandar Baharu Pasir Mas, di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin memberitahu, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membangunkan sektor pertanian di negeri ini.
Katanya, pada tahun ini sebanyak 11 projek kerjasama antara kerajaan negeri dan KPKM telah diluluskan dan sedang dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian dengan peruntukan RM8.174 juta.
Mohd. Nassuruddin berkata, pada masa kerajaan negeri menyeru golongan muda agar menceburi bidang pertanian dengan mengadaptasi teknologi moden sekali gus memanfaatkan tanah-tanah terbiar di negeri ini.
Katanya, teknologi terkini sesuai digunakan pada tahap maksimum dalam sektor pertanian kerana ia akan menyumbang kepada hasil lebih baik, berkualiti dan cepat serta memudahkan kerja-kerja pertanian di lapangan.
“Transformasi sektor pertanian dan agromakanan menjadi perlu dititikberatkan walaupun mengambil masa untuk dilaksanakan sepenuhnya. Demi menuju ke arah globalisasi yang berdaya saing, program dan projek berimpak tinggi terus dirancang serta dilaksanakan seiring perubahan zaman.
“Usaha transformasi sektor pertanian dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi tinggi adalah selari dengan perancangan kerajaan negeri yang menjadi antara penyumbang kepada gagasan Kelantan Sejahtera 2033,” katanya.-UTUSAN










