Kastam buat pemeriksaan mengejut elak amalan negatif libat pegawai, anggota - Utusan Malaysia

Kastam buat pemeriksaan mengejut elak amalan negatif libat pegawai, anggota

ANIS RIZANA MOHD. ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan terhadap pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa pada tahap optimum dan mengelakkan amalan kerja negatif.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudi berkata, pendekatan diambil itu adalah bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dan tatakelola menerusi pemeriksaan secara mengejut di seluruh negara dari semasa ke semasa.

Kata beliau, tindakan ini diambil susulan penahanan anggota kastam di Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini yang sedikit sebanyak mencalarkan imej pasukan berhubung isu integriti.

“Jadi, kita mengambil pendekatan untuk turun padang dan menjalankan pemeriksaan secara mengejut dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dan tatakelola

“Ia juga selaras arahan ketua pengarah perkhidmatan awam melalui surat bertarikh 18 April lalu berhubung peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan yang berintegriti,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata, menerusi kaedah turun padang dan membuat pemeriksaan secara mengejut itu, beliau dapat melihat sendiri masalah yang dihadapi anak buahnya di lapangan.

“Kita juga dapat menambah baik cara bekerja dari aspek pengoperasian serta kebajikan anggota kastam.

“Pendekatan lain adalah anggota terbabit dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditukarkan ke penempatan berisiko rendah bagi memastikan urusan siasatan berjalan lancar,” jelasnya.

Sebelum ini, 17 individu termasuk 11 pegawai JKDM ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes penyeludupan barangan import dan elak cukai atau ‘kontena terbang’ di Pelabuhan Klang membabitkan ketirisan berjumlah RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu pada 13 Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN