KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik menunaikan tanggungjawabnya dengan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon, Machap di sini hari ini.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor itu berkata, beliau masih lagi mengundi di DUN Machap kerana tidak sempat menukar kawasan pengundian.
“Saya masih mengundi di DUN Machap kerana tidak sempat menukar kawasan mengundi sebelum pilihan raya berlangsung. Alhamdulillah proses pengundian di DUN Machap berjalan lancar setakat ini.
“Saya berharap pengundi khususnya golongan muda mengambil peluang menunaikan hak mereka bagi memilih pemimpin masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi.
Beliau telah tiba di pusat mengundi itu pada pukul 8.52 pagi sebelum selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi enam minit kemudian.
Tambah Maszlee, selepas selesai mengundi, beliau akan ke DUN Puteri Wangsa untuk meninjau keadaan serta perjalanan pengundian.
Katanya, jumlah kehadiran pengundi pada awal pagi itu menunjukkan perkembangan positif dan berharap lebih ramai rakyat keluar mengundi.
“Selepas ini saya akan pergi ke Puteri Wangsa untuk meninjau keadaan di sana.
“Berdasarkan maklumat diterima, kira-kira 60 pengundi telah hadir selepas pukul 8 pagi,” katanya. – UTUSAN








