PETALING JAYA: Di sebalik kekecewaan pelumba basikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang selepas tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024, beliau disifatkan sebagai ‘permata negara’.
Perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ciapan di laman sosial X miliknya semalam.
“Kamu tetap permata negara Azizul Awang,” tulis Perdana Menteri sambil mengulang ciap laporan Bernama.
Semalam, impian Malaysia memperoleh pingat emas pertama sukan Olimpik menerusi kayuhan bertenaga ‘The pocketrocketman’ musnah apabila penyertaan Azizul dibatalkan pada saringan pertama acara keirin lelaki selepas memotong pacer.
Azizul berada pada kedudukan ke keenam pada saringan pertama itu bersama pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer, Jair Tjon En Fa, Ota Kaiya, Rayan Helal dan Jeffrey Hoogland
Penyertaan Azizul dibatalkan selepas dikesan turut melepasi pacer dan perlumbaan itu kemudiannya diulang semula tanpa kehadirannya pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu.
Perlumbaan saringan pertama itu dimenangi Matthew Glaetzer dari Australia dan pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland yang mara terus ke suku akhir. – UTUSAN










