Kampung Serian `gelap macam hutan'

Kampung Serian `gelap macam hutan’

KEADAAN jalan di Kampung Serian di Gua Musang selain tiada lampu jalan, laluannya juga banyak lubang. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk Kampung Serian di sini memerlukan pembangunan terutama kemudahan asas seperti bekalan air, lampu jalan dan jalan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Hafzan Hanafi, 47, berkata, keperluan utama yang perlu diberi perhatian ialah penyelenggaraan jalan dan kemudahan lampu jalan untuk keselamatan penduduk kerana kawasan ini gelap.

Menurutnya, masalah tersebut masih gagal diselesaikan meskipun wakil rakyat di DUN tersebut bersilih ganti.

“Lebih 1,000 penduduk mengharapkan kemudahan infrastruktur seperti jalan, bekalan air dan lampu jalan. Ia merupakan fasiliti yang penting buat masa ini.

“Jalan perhubungan paling penting dan kemudahan asas lain kita juga mahu tidak kira siapa yang memerintah. Masalah ini sudah lama berlaku, bukan seminggu atau setahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Serian di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Othman, 28, berkata, dia berharap perubahan berlaku terutamanya jalan yang sempit dan kerap rosak.

Katanya, kemudahan lampu jalan dan jalan raya merupakan keperluan utama bagi perhubungan penduduk termasuk untuk menghantar anak ke sekolah dan mengeluarkan hasil pertanian.

“Kebanyakan kawasan kampung di DUN Nenggiri termasuk Kampung Serian tidak mempunyai kemudahan lampu jalan bagi menerangi kawasan jalan kampung.

“Masuk ke sini ibarat masuk hutan kerana gelap gelita menyebabkan pelbagai masalah dihadapi penduduk kampung termasuk sering berdepan ancaman binatang buas,” katanya.

Noor Kamisah Mohd. Talubi, 47, pula berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menyelesaikan masalah isu jalan.

Katanya, selaku suri rumah, dia bimbang dengan keselamatan anak berulang alik ke sekolah yang terletak di Kampung Limau Kasturi.

“Saya sendiri menghantar anak ke sekolah setiap pagi sebelum mengambilnya pada sebelah petang sering berdepan masalah jalan sempit, rosak, berlubang dan tidak rata.

“Selain itu, terdapat juga jambatan yang sering ditenggelami air sungai ketika musim tengkujuh sehingga anak kami terkandas dan terpaksa ponteng sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×