Jalan perhubungan Ladang Serasa-Kampung Lulut siap Januari depan

Jalan perhubungan Ladang Serasa-Kampung Lulut siap Januari depan

AHMAD Maslan melihat (kanan) melihat peta lokasi pembinaan jalan baharu dari simpang Ladang Serasa ke Kampung Lulut, Mukim Kuala Sungai di Gua Musang, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jalan perhubungan dari simpang Ladang Serasa ke Kampung Lulut, Mukim Kuala Sungai di sini yang menelan kos RM40 juta dijangka siap pada bulan Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek pembinaan jalan sepanjang 14 kilometer itu dimulakan pada 4 Januari lalu.

Katanya, kemajuan pembinaan projek itu ketika ini dalam peringkat kerja awalan seperti pemeriksaan tapak bagi mengenal pasti utiliti dan kabel sepanjang jajaran jalan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, jajaran jalan perlu direka bentuk semula kerana penemuan beberapa struktur seperti telaga tiub, jambatan dan pilon atau struktur keluli Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ia merupakan projek milik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai agensi pelaksana,” katanya.

Ahmad memberitahu, skop projek tersebut antaranya pembinaan jalan sepanjang 14 kilometer, pemasangan lampu jalan, sistem perparitan, pemasangan perabot jalan, pengalihan utiliti, pengambilan dan kerja rawatan tanah. 

“Projek di Mukim Kuala Sungai merupakan antara komitmen kerajaan dalam meningkatkan mobiliti dan jalan perhubungan rakyat.

“Kita harap kualiti infrastruktur jalan raya selamat dan selesa kepada rakyat kerana ini sebenarnya hasrat Program MYJalan yang diwujudkan oleh Kementerian Kerja Raya.

“Justeru, pihak kementerian berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum menyiapkan projek itu dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN