JOHOR BAHRU: Suami guru wanita yang dibunuh kejam, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, menafikan bahawa suspek yang ditahan itu merupakan bekas teman lelaki isterinya.
Tegasnya, Allahyarhamah, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, tidak mempunyai hubungan istimewa dengan suspek, sebaliknya hanya rakan niaga.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu menegaskan, dakwaan bahawa arwah dan suspek pernah menjalin kasih suatu ketika dahulu telah menimbulkan tanggapan buruk terhadap isterinya.
“Saya harap perkara ini dapat diperbetulkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan. Dia bukan bekas teman lelaki, dia hanya rakan berniaga.
“Polis turut menasihati kami supaya tidak mendengar (dakwaan) pihak lain. Kami difahamkan mereka berhubung berkaitan perniagaan, bukan atas tujuan lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, di sini hari ini.
Pada 26 Disember lalu, guru wanita yang bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, di sini tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja dan hasil siasatan menemukan kereta milik wanita itu di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemukan disumbat di dalam tong sampah dan dibuang dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember lalu, namun identiti masih belum diketahui.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tidak lengkap yang ditemukan di Alor Gajah dikenal pasti sebagai Istiqomah hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof yang bekerja kilang berkata, keluarganya menyerahkan kes itu kepada polis supaya suspek diheret ke muka pengadilan dan berharap keluarga mereka diberi ruang untuk bertenang kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku terhadap arwah.
“Kami tidak sangka dia sudah tiada, kami melakukan pelbagai usaha bagi menjejakinya sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










