77 menara komunikasi baharu dibina sepanjang 50 km jajaran lebuh raya

77 menara komunikasi baharu dibina sepanjang 50 km jajaran lebuh raya

ALEXANDER Nanta Linggi bersama Fahmi Fadzil menyaksikan pertukaran MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad di Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Sebanyak 77 menara telekomunikasi baharu akan dibina di sepanjang kira-kira 50 kilometer jajaran lebuh raya di negara ini yang telah dikenal pasti tidak mempunyai liputan telekomunikasi yang memuaskan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, memorandum persefaham (MoU) yang dimeterai pada hari ini antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih besar ke arah merealisasikan pembangunan Smart Highway atau lebuh raya pintar di Malaysia.

Menurut beliau, kerjasama tersebut juga akan memberi fokus kepada beberapa lokasi yang mempunyai cabaran geografi dan teknikal yang memerlukan pendekatan khusus.

“Aspirasi ini bukan sekadar mengenai penggunaan teknologi baharu, tetapi melibatkan pembentukan satu ekosistem infrastruktur yang mampu menyokong pengurusan trafik secara masa nyata, pemantauan aset secara digital, sistem keselamatan yang lebih responsif serta pengalaman perjalanan yang lebih cekap dan lancar kepada pengguna.

“Dalam konteks ini, kerjasama antara LLM dan MCMC amat penting kerana pembangunan lebuh raya pintar memerlukan penyelarasan yang kukuh antara infrastruktur jalan raya dan infrastruktur komunikasi.

“Malah, pelaksanaan pelbagai inisiatif masa hadapan termasuk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS), analitik trafik berasaskan data serta pelaksanaan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) memerlukan tahap ketersediaan infrastruktur yang menyeluruh dan boleh dipercayai,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran MoU antara LLM dan MCMC di sini hari ini.

Terdahulu, Alexander bersama Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyaksikan pertukaran MoU antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi LLM, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

MoU tersebut dimeterai bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan
infrastruktur komunikasi di sepanjang rangkaian lebuh raya negara, selaras dengan usaha memastikan pembangunan infrastruktur digital bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur fizikal demi manfaat rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui kerjasama ini, rakyat akan menikmati akses komunikasi yang lebih baik sepanjang perjalanan, termasuk komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi, maklumat trafik masa nyata serta pelbagai perkhidmatan digital lain, seperti menara telekomunikasi dan rangkaian fiber optik, sekali gus menyumbang kepada pengalaman perjalanan yang lebih selamat, lancar dan sentiasa berhubung.

Sementara itu, Fahmi dalam ucapannya berkata, usaha memperkukuh liputan komunikasi di sepanjang lebuh raya bukan sekadar projek telekomunikasi, tetapi merupakan pelaburan strategik yang menyokong keselamatan awam, meningkatkan produktiviti ekonomi serta mempercepat transformasi digital negara.

Katanya, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan komitmen kerajaan untuk memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, kerjasama antara MCMC dan LLM itu mengangkat semangat ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’.

“MCMC telah memulakan langkah pelaksanaan melalui pelawaan yang dikeluarkan pada 15 Mei lalu
bagi menambah baik liputan Internet di beberapa lebuh raya utama yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), West Coast Expressway (WCE) dan Lebuhraya Pan Borneo.

“Saya yakin melalui komitmen, kepakaran dan semangat kolaborasi semua pihak, kita bukan sahaja akan menambah baik liputan komunikasi di sepanjang lebuh raya negara, malah membina asas yang lebih kukuh untuk memperkasa ekosistem mobiliti pintar, mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dan mewujudkan kehidupan yang lebih terhubung untuk generasi akan datang.

“Justeru, besarlah harapan saya agar Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dapat mempertimbangkan mekanisme kelulusan khas bagi projek berskala besar seperti ini supaya pelaksanaannya dapat dipercepatkan, sekali gus membolehkan rakyat menikmati manfaatnya dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN