KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan berlangsung pada 11 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi khas itu diadakan pada tarikh berkenaan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“11 Ogos, sesi khas Parlimen. Saya sudah berbincang dengan Speaker dan beliau pun setuju. (Sesi) bermula 10 pagi sehingga petang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank di sini, hari ini.
Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Selepas TH melalui proses penstabilan kewangan dan operasi, Jemaah Menteri semalam bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan berkenaan.
Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan pendedahan laporan RCI TH sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Katanya, laporan itu menjadi peluang memperkukuh TH agar terus diyakini pendeposit dan kekal sebagai peneraju pengurusan haji negara.
Tambahnya, sepanjang lebih enam dekad penubuhannya, TH memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan dan urusan haji jutaan rakyat Malaysia, sekali gus menjadi model pengurusan dana Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Syor-syor yang dikemukakan menerusi RCI sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi memperkukuh tadbir urus, memastikan pematuhan syariah serta menjamin kelestarian operasi institusi itu.
“Pembaharuan yang dilaksanakan turut disokong prestasi kewangan TH yang kukuh serta pengiktirafan antarabangsa menerusi kejayaan meraih Anugerah Labaytum Diamond 2026 daripada Kerajaan Arab Saudi secara konsisten,” katanya. – UTUSAN










