TOKYO: Pihak berkuasa Jepun menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik berikutan siri gempa bumi yang melanda negara sejak tiga hari lalu, lapor agensi berita CNA.
Sebuah pasar raya di Tokyo hari ini, mengeluarkan notis permohonan maaf kepada pelanggan berikutan kekurangan stok produk tertentu seperti kit bencana dan barangan keperluan harian.
“Pembelian mungkin dihadkan untuk barangan tertentu contohnya air mineral. Ia terhad kepada beberapa unit bagi seorang pelanggan,” menurut pemberitahuan itu.
Laman web gergasi e-dagang Jepun, Rakuten turut mendedahkan, antara barangan paling dicari pengguna ialah tandas mudah alih, makanan dalam tin dan air minuman.
Menurut media tempatan, pemilik kedai di sepanjang pesisir Pasifik juga melaporkan stok bagi barangan tertentu amat terhad ekoran permintaan yang tinggi.
Menurut laman web Volvano Discovery yang memaparkan aktiviti gempa bumi terkini, sebanyak lima gegaran direkodkan di Jepun sejak kelmarin.
Gegaran terbaharu direkodkan pada pukul 12.29 tengah hari (waktu tempatan) apabila gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan selatan Laut Okhotsk, berhampiran pantai Hokkaido.
Semalam, satu gegaran sekuat 5.3 pada skala Richter menggegarkan wilayah Kanagawa berhampiran Tokyo pada pukul 7.57 malam.










