PARIS: Pihak berkuasa kehakiman Perancis melanjutkan penahanan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, Pavel Durov semalam.
Menurut sumber, penahanan Durov, 39, dilanjutkan sehingga malam Ahad oleh majistret yang mengendalikan kes itu.
Tempoh awal penahanan untuk soal siasat boleh bertahan sehingga maksimum 96 jam.
Apabila fasa penahanan ini tamat, hakim kemudiannya boleh memutuskan untuk membebas atau mendakwa dan melanjutkan reman.
Jutawan itu ditahan di Lapangan Terbang Le Bourget, dekat Paris pada Sabtu, sejurus tiba dari Baku, Azerbaijian dengan menaiki jet peribadi.
OFMIN Perancis, sebuah pejabat yang ditugaskan untuk mencegah keganasan kanak-kanak, mengeluarkan waran tangkap terhadap Durov dalam siasatan awal terhadap dakwaan kesalahan penipuan, pengedaran dadah, buli siber, jenayah terancang dan mempromosi keganasan.
Durov dituduh gagal mengambil tindakan untuk membendung jenayah di platformnya.
“Telegram mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah (EU), termasuk Akta Perkhidmatan Digital – pemantauannya adalah mengikut piawaian industri.
“Ia tidak masuk akal untuk mendakwa platform atau pemiliknya bertanggungjawab terhadap penyalahgunaan tersebut,” kata Telegram dalam kenyataan.
Kedutaan Russia ke Paris berkata, pihaknya menuntut akses kepada Durov tetapi tidak mendapat maklum balas dan menyatakan Perancis enggan bekerjasama.
Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova berkata, Moscow meminta akses konsular, namun Durov juga mempunyai kewarganegaraan Perancis, yang dianggap sebagai utama.
Sementara itu, jutawan terkenal yang juga pemilik media sosial X, Elon Musk menyatakan sokongan terhadap Durov dan menggesa pembebasan CEO Telegram itu.- AFP











