GUA MUSANG: Bendera parti-parti bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mula dipasang dan mewarnai segenap kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sempena Pilihan Raya Kecil (PRK).
Tinjauan di Kampung Jerek dan Kampung Pasir Tumbuh di sini mendapati, bendera dua parti tersebut mula dipasang sejak kelmarin selepas penamaan calon selesai.
Seorang penduduk, Muhammad Hassan, 35, berkata, kerja-kerja pemasangan bendera akan menjadi lebih rancak selepas ini apabila semua jentera parti mulai turun untuk berkempen.
“Sebelum itu, kampung kami sudah meriah dengan kehadiran orang luar termasuk petugas pilihan raya. Dengan pemasangan bendera parti, ia akan menjadi lebih meriah dan hangat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Siti Zakiah Salleh, 45, berkata, selepas tempoh setahun suasana kembali meriah dengan kibaran bendera parti BN dan Pas.
Katanya, setakat ini mereka terlibat dengan tiga pilihan raya, kali terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memilih wakil rakyat DUN Nenggiri setahun lalu.
“Suasananya berbeza kali ini kerana persaingannya juga sengit disebabkan kedua-dua calon dikenali penduduk dan biasa dilihat.
“Kami jangka selepas ini lebih banyak lagi bendera akan dikibarkan dan pelbagai replika unik akan dibuat oleh penyokong parti masing-masing,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pada PRK itu nanti BN akan diwakili oleh Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sementara Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd. Rizwadi Ismail sebagai calon.
Sebelum itu, pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff. – UTUSAN










