PORT DICKSON: Kerajaan menerusi agensi berkaitan perlu mempromosikan semula kerang-kerangan khususnya kupang di daerah ini yang terjejas susulan kejadian keracunan selepas pengambilan hasil laut itu pada bulan April lalu.
Nelayan yang juga penternak kupang di Kampung Telok, Pasir Panjang di sini, Mohd. Hairel Mohd. Rashid, 32, berkata, dia lega apabila Jabatan Perikanan telah menarik balik larangan terhadap pengeluaran hasil kerang-kerangan khususnya kupang di perairan Port Dickson susulan kejadian keracunan itu.
“Bagaimanapun saya harap agensi berkaitan dapat menguar-uarkan semula bahawa kupang dan kerang di sini sudah selamat dimakan, ia perlu dipromosikan semula kerana orang ramai masih khuatir untuk membeli kupang dari sini.
“Sebaik sahaja keputusan menarik balik larangan pengeluaran kupang diterima semalam, saya terus memberitahu kepada pelanggan namun respon diterima masih kurang memberangsangkan, mereka masih ragu-ragu, inilah impak yang kami terima,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan Malaysia mengesahkan kupang di Port Dickson telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan selepas analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
Jabatan tersebut justeru menyarankan kupang dan kerang-kerangan lain di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan mengambil tindakan penguatkuasaan tidak membenarkan kerang-kerangan di Port Dickson dikeluar dan dijual di pasaran awam.
Analisis tersebut dibuat selepas terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.
Bagaimanapun, kelmarin, larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Negeri Sembilan termasuk Melaka yang sebelum ini dikuatkuasakan telah ditarik balik berikutan bacaan biotoksin bagi sampel ke-15 telah menunjukkan penurunan ke paras selamat iaitu di bawah 400 per bilion (ppb).
Seorang lagi nelayan dari Kampung Balak, Pasir Panjang di sini, Dewana Haris, 39, juga berpandangan yang sama dan berharap hebahan terus dapat dilakukan pihak berwajib supaya orang ramai tahu kupang dan kerang di Pasir Panjang sudah selamat dimakan.
“Kami telah menanggung banyak kerugian sepanjang empat bulan larangan pengeluaran hasil kerang-kerangan di sini.
“Ketika ini orang ramai masih takut untuk makan kupang dari Port Dickson, jadi saya harap kerajaan dapat bantu mempromosikan semula hasil laut ini kepada mereka,” katanya.-UTUSAN.










