Apa jadi kepada Masjid Wilayah?

Apa jadi kepada Masjid Wilayah?

KAWASAN kawasan Duta Enclave adalah antara kawasan hartanah bernilai tinggi dan di lokasi strategik di ibu negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengarahkan kerajaan menyerahkan tanah Duta Enclave seluas 106.542 hektar di Jalan Duta kepada pemilik asal, Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd., mencetus persoalan, apa nasib Masjid Wilayah Persekutuan dan jabatan kerajaan lain di situ?

Sekiranya kedua-dua pihak gagal men­capai kata sepakat menyelesaikan isu tanah yang didakwa diceroboh kerajaan, pengamal undang-undang bimbang im­plikasi besar bakal berlaku sehingga menjejaskan sistem perkhidmatan kerajaan selepas proses pendaftaran Semantan Estate sebagai pemilik tanah selesai.

Peguam turut mempersoal apakah wujud kemungkinan kesemua aset kerajaan di sana akan ‘dihalau keluar’ bagi tujuan projek pembangunan oleh Semantan Estate yang pasti menuntut kerajaan menanggung aliran kewangan yang terlalu besar?

Sehubungan itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kerajaan dan Semantan Estate perlu mengambil jalan penyelesaian secara damai berhubung isu pencerobohan ta­nah berkenaan.

Katanya, walaupun Semantan Estate merupakan pemilik benefisiari tanah, namun pro­ses dilalui tidak mudah kerana terdapat bangunan milik kerajaan didirikan sejak berabad lama.

“Sepatutnya kerajaan dan pihak terlibat berbincang secara damai kerana ramai penjawat awam di sana termasuk syariah dan jabatan lain, bukannya Semantan Estate ba­ngunkan.

“Walaupun kedudukan kerajaan dianggap salah dari sudut perundangan, tetapi ini adalah isu nasional kerana bersangkut-paut dengan tadbir urus negara.

“Adakah Semantan Estate mahu halau semua aset kerajaan keluar dan mereka mahu buat apa pula? Adakah bangunan kerajaan itu mahu dijadikan hotel atau dirobohkan? Bukankah ini merugikan kerajaan dan negara?

“Sebab itu saya percaya perkara ini boleh diselesaikan secara baik jika kedua-dua pihak berunding dengan profesional,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kata Mohamed Haniff, kerajaan sepatutnya memasuki fa­sa perjanjian pajakan dan sewaan bangunan bagi memastikan sistem perjawatan awam boleh terus berfungsi.

“Pada masa sama, Semantan Estate juga tidak berdepan kerugian pada masa akan datang. Namun, saya tegaskan, ini bukanlah salah mana-mana kerajaan mentadbir sebelum dan semasa kerana kes ini sudah terlalu lama,” katanya.

Sementara itu, kerajaan te­lah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mah­kamah Tinggi tersebut.

Notis rayuan tersebut difailkan oleh Pendaftar Hak Milik (Wilayah Persekutuan) bagi pihak kerajaan lewat petang semalam secara dalam talian.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media.

Beliau memberitahu sesalinan notis rayuan juga dise­rahkan kepada peguam yang mewakili Semantan Estate melalui e-mel.

Mengulas berhubung per­mohonan penggantungan­ pe­laksanaan keputusan mah­kamah, Mohamed Haniff ber­kata, ia hanya bertujuan me­nunggu perbicaraan lanjut walaupun hakikatnya kerajaan sudah kalah di mahkamah.

“Mahu gantung pelaksa­naan adalah hak kerajaan, tetapi mesti ada asasnya. Cuma bagi saya, belum ada kecemasan untuk menggantungnya, baharu minta pindah pemilik nama,” katanya.

Utusan Malaysia masih men­dapatkan maklum balas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengarahkan kerajaan menye­rahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) kepada Semantan Estate yang merupakan pemilik asal lokasi itu.

Tanah itu meliputi sebahagian Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta yang turut menempatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Stadium Hoki Jalan Duta dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Hakim Datuk Ahamad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan penye­ra­­han itu dilaksana dalam tempoh tiga bulan bermula semalam tanpa sebarang hala­ngan dan liabiliti dan mendaftarkan Semantan Estatesebagai tuan punya tanah.

Perintah tersebut dikeluarkan mahkamah selepas menolak permohonan kerajaan yang diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Shamsul Bolhassan untuk menggantung prosiding itu selama tiga bulan bagi memboleh­kan perbinca­ngan mengenai ganti rugi tanah dimuktamad.

Semantan Estate memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta.

Sekitar 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya (ketika itu) memutuskan Semantan Estate kekal mempunyai kepen­tingan terhadap tanah tersebut yang didakwa telah diambil alih oleh kerajaan de­ngan cara salah dan menceroboh tanah berkenaan.

Kerajaan merayu terhadap keputusan tersebut, namun ditolak Mahkamah Rayuan pada 18 Mei 2012. Pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan mengekal keputusan terdahulu, iaitu kerajaan menceroboh apabila mengambil alih melalui Enakmen Pengambilan Tanah.

Keputusan semalam bagai­manapun tidak membabitkan hasil perantaraan (mesne profit) dituntut Semantan Estate daripada kerajaan.

Semantan Estate menganggarkan hasil perantaraan wajar diterima bagi tempoh 1957 hingga 2021 adalah antara RM3.1 bilion dan RM13.242 bi­lion berserta faedah.

Bagaimanapun, kerajaan melalui penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta mempertikaikan jumlah tersebut dan menyatakan Semantan Estate hanya layak menerima ganti rugi sebanyak RM290 juta.

Isu mengenai hasil perantaraan masih belum diputuskan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN