61 maut, pesawat terhempas di Brazil

61 maut, pesawat terhempas di Brazil

RAKAMAN tersebar di media sosial menunjukkan pesawat ATR 72-500 turun secara menegak dan berpusing semasa ia jatuh.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VINHEDO: Sebuah pesawat terhempas di negeri Sao Paulo, Brazil, mengorbankan kesemua 61 penumpang dan anak kapal.

Pesawat turboprop berkembar itu dalam perjalanan dari Cascavel di negeri selatan Parana ke lapangan terbang Guarulhos di bandar Sao Paulo, apabila ia terhempas di bandar Vinhedo, menurut syarikat penerbangan, Voepass.

Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah pesawat turun secara menegak dan berpusing semasa ia jatuh.

Pesawat ATR 72-500 itu membawa 57 penumpang dan empat anak kapal. Pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada mangsa yang terselamat.

ATR, pembuat pesawat Perancis-Itali, berkata ia akan bekerjasama dengan siasatan tersebut.

Pesawat itu terhempas di kawasan perumahan, namun tiada mangsa lain terlibat dan hanya sebuah rumah di kompleks kondominium tempatan rosak.

Menurut laman web penjejakan Flightradar24, pesawat itu meninggalkan Cascavel pada 11.56 pagi Jumaat (waktu tempatan).

Isyarat terakhir yang diterima daripada pesawat adalah kira-kira satu setengah jam kemudian.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menzahirkan simpati dan takziah kepada keluarga serta rakan mangsa yang terlibat.

Gabenor negeri Sao Paulo, Tarcisio Gomes de Freitas mengisytiharkan tiga hari berkabung.

Agensi penerbangan awam Brazil berkata, pesawat yang dibina pada 2010 itu beroperasi dalam keadaan baik, dengan sijil pendaftaran dan kelayakan udara yang sah.

Empat anak kapal di dalam pesawat terbabit semuanya berlesen dan mempunyai kelayakan yang sah, katanya.

Ia adalah nahas pesawat terburuk di Brazil sejak 2007, apabila pesawat TAM Express terhempas dan terbakar di lapangan terbang Congonhas Sao Paulo, mengorbankan 199 orang.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×